ISTANBUL – Sweden tidak boleh mengharapkan sokongan Turkiye untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) selepas insiden membakar Al-Quran di luar kedutaannya, di Stockholm baru-baru ini, kata Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Kenyataan itu merupakan isyarat kepada Sweden dan Finland yang merancang menyertai pakatan pertahanan Barat sebelum pilihan raya presiden dan parlimen Turkiye pada Mei depan.
Turkiye dan Hungary adalah anggota NATO yang tidak meratifikasi keputusan bersejarah dengan memecahkan tradisi berkecuali ketenteraan terhadap pencerobohan Russia ke atas Ukraine.
“Sepatutnya Sweden tidak mengharapkan sokongan Turkiye untuk NATO. Adalah jelas bahawa mereka yang menyebabkan aib di hadapan kedutaan kita, tidak boleh mengharapkan sebarang kebajikan berhubung permohonan untuk menjadi ahli NATO,” katanya.
Erdogan berkata, membakar kitab suci umat Islam adalah jenayah kebencian yang tidak dapat dipertahankan dengan kebebasan bersuara.
Namun Sweden sangat berhati-hati dalam membalas kenyataan Erdogan.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg mengecam pendirian Erdogan berhubung Sweden.
Beliau berkata, kebebasan bersuara dan kebebasan berpendapat adalah komoditi yang berharga di Sweden dan semua negara NATO. – MalaysiaGazette