Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia.

KUALA LUMPUR – Hasil siasatan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapati tiada isu diskriminasi terhadap penganjuran bengkel Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) anjuran sebuah sekolah menengah di sebuah hotel di Johor baru-baru ini.

KPM berkata, bengkel tersebut diadakan atas inisiatif Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru yang telah menganjurkan dialog prestasi yang kemudiannya disusuli dengan penganjuran
bengkel tersebut oleh pihak sekolah.

Katanya, ia adalah kerjasama antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan serta Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) serta Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS).

“Laporan awal mendapati bahawa bengkel tersebut merupakan salah satu daripada pelbagai perancangan pihak berkaitan bagi memastikan semua murid tanpa mengira kaum dapat membuat persediaan menjelang peperiksaan SPM.

“Pada 19 dan 20 Januari 2023, Bengkel Persediaan SPM untuk calon telah dilaksanakan dahulu di Hotel Suasana, Johor Bahru melibatkan 30 orang calon yang gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah serta melibatkan calon GALUS (gagal lulus) dalam beberapa mata pelajaran lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengulas ciapan yang tular di Twitter berkenaan satu tangkap layar dalam kumpulan WhatsApp antara ibu bapa dan kakitangan sekolah itu mengenai rasa tidak puas hati segelintir ibu bapa selepas sekolah itu didakwa mengadakan bengkel SPM secara eksklusif untuk pelajar Islamnya yang berprestasi rendah.

Menurut KPM, bengkel yang dilaksanakan diasingkan mengikut siri untuk mengelakkan gangguan terhadap calon yang sedang membuat persiapan bagi menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.

Katanya, KPM turut dimaklumkan bahawa bengkel susulan yang sama bagi calon lain juga telah dirancang untuk dilaksanakan pada 26 dan 27 Januari 2023 bertempat di hotel yang sama.

“Hasil siasatan mendapati tiada isu diskriminasi terhadap semua calon yang akan menduduki SPM dalam program yang telah dirancang oleh pihak sekolah dengan melibatkan pegangan agama berbeza sebagaimana yang didakwa.

“Namun prestasi komunikasi akan dipertingkatkan bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang,” ujarnya sambil menambah pendidikan adalah elemen utama yang merentas setiap kaum, agama dan bangsa.

Sementara itu, KPM meminta ibu bapa dan masyarakat terus menghubunginya melalui platform rasmi sekiranya terdapat sebarang isu atau masalah terutamanya yang melibatkan murid-murid. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.