WASHINGTON – Bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Mike Pence memberitahu Kongres pada Selasa bahawa dokumen sulit ditemui di rumahnya di Indiana, lapor Xinhua.
Pengerusi Jawatankuasa Pengawasan dan Kebertanggungjawaban Dewan, James Comer dalam satu kenyataan menyebut bahawa Pence menghubunginya pada Selasa mengenai dokumen yang tersalah letak itu.
“Beliau bersetuju untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pengawasan kongres dan sebarang persoalan mengenainya,” kata Comer mengenai Pence, yang berkhidmat sebagai naib presiden AS dari Januari 2017 hingga Januari 2021 di bawah Donald Trump.
Pasukan Pence dilapor memaklumkan Arkib Negara minggu lepas mengenai kemungkinan sejumlah kecil dokumen sulit ditemui dalam dua kotak kecil.
Dokumen itu diambil dari rumah Pence di Carmel, Indiana oleh ejen persekutuan pada petang Khamis ketika Pence berada di Washington, D.C.
Jabatan Kehakiman (DOJ) AS dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dikatakan mula menyiasat dokumen itu dan bagaimana ia berada di kediaman Pence di Indiana.
Sementara itu, penasihat khas juga sedang membuat siasatan berasingan mengenai pengendalian dokumen sulit oleh Trump dan Presiden AS sekarang ini, Joe Biden.
Trump membawa ratusan rekod sulit bersamanya selepas menamatkan jawatan presiden dan selama berbulan-bulan enggan mengembalikannya kepada kerajaan persekutuan sehingga DOJ terpaksa mendapatkan waran geledah untuk memperoleh semula dokumen berkenaan.
FBI menggeledah rumah Biden di Wilmington, Delaware minggu lepas dan menemui dokumen tambahan dengan tanda sulit, menurut peguamnya.
Penemuan itu adalah kali keempat rekod atau bahan sulit ditemui di alamat peribadi Biden sejak November 2022.
Tinjauan baharu ABC News/Ipsos mendapati majoriti besar rakyat Amerika percaya bahawa Trump dan Biden bertindak tidak wajar dalam mengendalikan dokumen sulit.- BERNAMA