Rokok elektronik atau vape “Tiger Pod” menyerupai permainan kanak-kanak semakin berleluasa. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR –  Aktiviti mempromosi, mengiklan dan menjual rokok elektronik atau vape menyerupai permainan kanak-kanak atau Tiger Pod kini semakin berleluasa.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil kesal berkaitan isu penjualan vape itu di hadapan sebuah sekolah yang tular baru-baru ini.

“Perkara ini sangat membimbangkan ibu-bapa dan guru kerana produk tersebut direka sehingga menarik perhatian kanak-kanak dan remaja untuk menggunakannya.

“Apa yang lebih membimbangkan ialah apabila rokok elektronik atau vape itu menggunakan cecair bernikotin, yang penjualannya adalah dikawal di bawah Akta Racun 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Dr. Zaliha, pengedaran dan pembekalan sebarang persediaan mengandungi nikotin memerlukan pendaftaran dan kelulusan sebagai ubat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah di bawah peruntukan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Akta Jualan Dadah 1952.

“Menyedari bahawa Akta Racun 1952 tidak mempunyai peruntukan terhadap larangan aktiviti promosi dan pengiklanan cecair rokok elektronik atau vape.

“Maka peruntukan itu telah dimasukkan di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok yang lebih bertujuan mengawal selia penghasilan produk tersebut.

“Ia telah pun dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada sidang Parlimen Ogos 2022 dan  pelaksanaan terhadapnya masih tertangguh hingga kini,” ujarnya.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa. Foto HAZROL ZAINAL, 03 JANUARI 2023.

Katanya lagi, penyelesaian terhadap penjualan produk yang boleh membahayakan kesihatan generasi muda seperti Tiger Pod memerlukan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi.

Antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pihak berkuasa tempatan dan agensi penguatkuasaan yang lain.

“Saya juga ingin menegaskan supaya pengusaha-pengusaha vape haruslah mengambil sikap pertanggungjawaban yang tinggi dalam menghasilan produk mereka.

“Ibu-bapa juga diminta terus memantau aktiviti anak-anak supaya tidak terjebak dalam amalan yang boleh merosakkan kesihatan mereka,” jelasnya.

Beliau menambah, KKM juga akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), universiti awam dan swasta serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam aktiviti advokasi dan pencegahan.

“Langkah ini bagi memastikan pendidikan berterusan berkaitan bahaya merokok dapat disebarkan secara meluas kepada semua lapisan masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette