Anggota pengkuatkuasa Jabatan Perikanan merampas bubu naga di kawasan perairan Kuala Muda hingga Kuala Chenaam, Pulau Pinang minggu lalu.

BATU MAUNG – Jabatan Perikanan menyifatkan penggunaan bubu naga masih berleluasa di Pulau Pinang meskipun penggunaanya dilarang sejak November 2018.

Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, ia susulan operasi Khas Bubu Naga yang dijalankan pihaknya dengan kerjasama Jabatan Perikanan negeri di perairan Kuala Muda hingga Kuala Chenaam, Seberang Perai Selatan.

“Operasi selama dua hari bermula 19 Januari itu membawa kepada rampasan 129 unit bubu naga dengan nilai sitaan berjumlah RM7,740.

Wan Aznan bersama Pengarah Perikanan negeri, Yazeereen A Bakar mendedahkan mengenai penggunaan bubu naga di Pulau Pinang.

“Berdasarkan statistik juga kita dapati, sebanyak 1,165 unit bubu naga dirampas di negeri ini sepanjang tahun lalu dan jumlah itu menunjukkan peningkatkan sebanyak 353 unit berbanding 2021,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Mengulas lanjut Wan Aznan berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya bubu naga telah disalah guna oleh nelayan tempatan bagi aktiviti menangkap ikan dan udang di perairan pantai sedangkan kawasan itu merupakan tempat pembiakan spesis terbabit.

“Sepatutnya kawasan ini yang kita perlu pelihara kerana sumber (ikan dan udang) akan membiak di kawasan pantai iaitu 0 hingga lima batu nautika.

Wan Aznan (kiri) menunjukkan bubu naga yang dirampas unit penguatkuasa Jabatan Perikanan Pulau Pinang dalam operasi khas minggu lalu.

“Jadi bila guna peralatan di larang seperti bubu naga menyebabkan sumber kita terjejas kerana benih-benih ikan, udang ditangkap dalam kuantiti banyak.

“Bagi jangka masa pendek memang hasil bertambah namun ia boleh menjejaskan sumber di Pulau Pinang bagi jangka masa panjang,” kata beliau.

Tambah Wan Aznan, Pulau Pinang juga berdepan situasi kemerosotan pendaratan udang dan ikan sekiranya penggunaan bubu naga ini masih berleluasa.

“Selain itu, kesan jangka panjang lain akibat penggunaan bubu naga ini ialah ia boleh jejaskan kehidupan nelayan dan keseluruhan rakyat dari sudut keselamatan makanan.

Kira-kira 129 unit bubu naga dirampas dalam operasi selama dua hari itu.

“Sehubungan itu, bagi mengekang penggunaanya kita lakukan operasi sebegini dan mereka yang didapati menggunakan bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Wan Aznan berkata, pihaknya memandang serius dan komited dalam menangani kegiatan pengunaan bubu naga dengan menjalankan operasi bersepadu membabitkan agensi penguat kuasa lain.

“Kita mahu kegiatan bubu naga ini dapat dibanteras demi menjamin sekuriti makanan negara,” kata beliau. – MalaysiaGazette