Arabath Ali Arul Alavudeen, dan Mohmmed Ismail R. P. Mohd Ibrahim, mengaku tidak bersalah ke atas dua pertuduhan membuat tuntutan palsu di Mahkamah Sesyen, Kuantan, Pahang.

KUANTAN – Dua ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 1.0 berjumlah RM43,600.

Arabath Ali Arul Alavudeen, 36, dan Mohmmed Ismail R. P. Mohd Ibrahim, 62, membuat pengakuan itu dilakukan di hadapan hakim, Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Tertuduh, Arabath Ali Arul Alavudeen, 36, dan Mohmmed Ismail R. P. Mohd Ibrahim, 62, didakwa menyenaraikan 27 nama pekerja bagi melayakkan mereka menerima insentif pengambilan pekerja daripada skim berkenaan pada 5 dan 6 Oktober 2020.

Tertuduh didakwa telah mengemukakan permohonan dengan butiran palsu yang mengandungi 17 senarai nama pekerja syarikat Is Catering Sdn. Bhd. pada 5 Oktober 2020 bagi mendapatkan insentif berjumlah RM27,200 walhal senarai nama terbabit tidak pernah memohon kerja di syarikat berkenaan.

Arabath Ali dan Mohammed Ismail turut didakwa melakukan kesalahan sama pada 6 Oktober 2020 dengan mengemukakan dokumen dengan 10 senarai nama dengan niat mendapatkan insentif berjumlah RM16,400.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 24(2) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak lebih lima kali ganda nilai tuntutan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Arabath Ali diwakili peguam Venugopal Narasiman dan peguam R. Maran pula mewakili Mohmmed Ismail manakala pertuduhan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif.

Kedua-dua peguam merayu mahkamah menetapkan ikat jamin yang minimum berikutan masing-masing anak guam mereka mempunyai tanggungan empat dan lima orang tanggungan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM18,000 setiap tertuduh selain menetapkan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Hakim menetapkan 27 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette