Dr. Sukumaran Nair

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) menyokong tindakan kerajaan yang giat melaksanakan program dan proses untuk memudahkan pengambilan pekerja asing bagi pelbagai sektor yang memerlukan tenaga kerja.

Setiausaha Agungnya, Dr. N. Sukumaran berkata, pihaknya akan menyokong dan bekerjasama dengan kerajaan bagi membendung sebarang aktiviti yang tidak diingini dalam proses merekrut pekerja asing ke negara ini sekali gus menamatkan segala proses monopli dan eksploitsasi pekerja asing.

“Program Rekalibrasi  sudah pun dilaksanakan bagi memutihkan pekerja pekerja asing yang sedia ada di Malaysia dan mempermitkan mereka untuk sambung bekerja di pelbagai sektor yang diperlukan serentak dengan memudahkan proses kemasukan pekerja migran bahru dari negara negara sumber yang dibenarkan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, PAPSMA turut membantah monopli yang dipraktikkan oleh agensi tertentu melalui sistem digital sedia ada dengan menggunakan sindiket dari agensi-agensi pekerjaan negara tersebut.

Dakwanya, amalan itu mengeksploitasikan kemasukan pekerja asing khususnya dari Bangladesh.

“Walaupun beribuan kelulusan telah diberikan namun pekerja yang sampai untuk bekerja begitu rendah jumlahnya.

“Oleh itu, kerajaan diseru mengambil alih operasi sistem digital dan memperincikan struktur proses pengambilan pekerja asing dengan serta-merta.

“Kami menyeru kerajaan manamatkan polisi merekrut agensi pekerja asing berkenaan dari negara sumber tersebut kerana ia tidak dijalankan dengan cara yang teratur dan  polisi kerajaan yang sedia ada,” katanya lagi.

Sukumaran turut menyeru Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia  mengambil berat tentang etika dan polisi kerajaan yang sedang dipraktikan sekarang dalam pengrekrutan pekerja asing.

“Ia bagi menghindarkan mana-mana negara asing yang terlibat tidak menggangu proses dan protokol negara kita yang kini telah terjerumus di bawah kategori Tahap Ketiga Pertubuhan Buruh Antarabangsa dalam sektor pengambilan pekerja asing global,” katanya lagi. – MalaysiaGazette