Hannah Yeoh semasa sidang media selepas menghadiri Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Sidang II, Penggal 33, Sesi 2021 – 2022 di Dewan Kampo, Pusat Belia Antarabangsa (IYC) Kuala Lumpur, Cheras. foto KBS Malaysia

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan menggesa kerajaan dan Kementerian Sumber Manusia menstruktur semula Program Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang sedang dilaksanakan di negara ini.

Menterinya. Hannah Yeoh berkata, program TVET yang sedang dikendalikan oleh semua kementerian ketika ini tidak relevan dan mengelirukan, selain tidak terurus.

“Sekarang ini program TVET sedang dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dalam kerajaan dan mempunyai program masing-masing.

“Apabila belia yang mengambil bahagian menamatkan kursus latihan Program TVET yang terdiri daripada pelbagai jenis, pemain industri menjadi sangat keliru dari segi penggajian serta tahap penguasaan kemahiran TVET yang dimiliki.

“Oleh itu Kabinet sebelum ini telah meminta penstrukturan semula dilakukan terhadap program TVET. Saya percaya Kabinet baharu kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melihat semula perkara ini dengan kadar segera dengan mengutamakan masa depan belia negara ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau terdahulu hadir bersama Timbalan Menterinya Adam Adli Abdul Halim bagi mempengerusikan serta merasmikan sidang ke-2 Penggal ke-33 Majlis Perundingan Belia Negara Sesi 2021-22 di Pusat Belia Antarabangsa pagi tadi.

Tambah beliau, KBS bersiap sedia untuk menjalin kerjasama penuh dengan Kementerian Sumber Manusia bagi melaksanakan usaha menstruktur semula program TVET.

Ujar Hannah, setiap kementerian tidak perlu membuat program TVET masing-masing, yang mana ia kelihatan tidak terurus dan tidak fokus.

Malah ia menyebabkan berlaku banyak pembaziran dari segi tenaga dan kos bagi menampung berbelanjaan program itu.

“Bagaimana kita boleh mengelak pembaziran itu? Ia boleh dibuat apabila TVET diusahakan oleh satu kementerian sahaja (Kementerian Sumber Manusia) usaha kita untuk menaiktaraf kemudahan serta infrastruktur program itu akan menjadi lebih mudah dan berkesan dan program TVET tak perlu dilakukan semua kementerian seperti berlaku sekarang.

“Sebagai contoh sekiranya setiap kementerian membelanjakan kos RM50 juta untuk menaiktaraf Program TVET masing-masing tetapi ‘intake’ (pengambilan) itu tidak dimaksimumkan, dari segi itu tenaga pengajar untuk program TVET akan ada pembaziran.

“Maka, KBS mahu Kabinet dan KSM melihat segera secara serius bagaimana kita boleh menstrukturkan semula program TVET ini.

“Lagipun, dalam program TVET terdapat banyak kursus yang berkemungkinan popular pada zaman saya bersekolah, tapi sekarang dengan wujudnya program seperti gig ekonomi, saya dapati ramai pemuda akan pentingkan ‘flexi hours’ dan berbeza cara pandangan mereka serta pendekatan mereka terhdap program TVET,” kata beliau.

Menurut Hannah,  pada masa sekarang ramai golongan belia dan muda lebih cenderung untuk menjadi Youtuber dan pempengaruh di media sosial.

Dalam keadaan ini, katanya, program TVET sudah pastinya tidak mendapat penyertaan menyeluruh jika kursus-kursus yang disediakan tidak mampu menarik minat mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast