KUALA LUMPUR – Pertubuhan Sabar Bersama Rakyat Malaysia (Bara) menggesa supaya kerajaan menghantar nota bantahan tindakan membakar kitab suci Al Quran kepada kedutaan Sweden di ibu negara.

Presiden pertubuhan berkenaan Mohd Anas Sudin berkata, nota berkenaan perlu bagi mendesak kerajaan Sweden mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli politik ekstrem Denmark-Sweden, Rasmus Paludan.

Jelas beliau, tindakan ahli politik berkenaan akan menyemarakkan lagi kebencian terhadap Islam.

“Tindakan itu membuat umat Islam bangkit seluruh dunia membantah. Islam adalah agama yang bukan ekstrem. Islam pentingkan harmoni, saling hormat-menghormati agama lain dan budaya kaum lain,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam situasi ini, Anas menyeru umat Islam dalam negara bertenang dan membuktikan bahawa Islam negara bertoleransi dengan semua masyarakat.

“Namun tindakan biadap ahli politik Sweden ini semua anak muda dan umat Islam wajib peka dan sensitif serta membantah keras. Jalan terakhir NGO bara Malaysia akan turut serta ke kedutaan Sweden bersama gabungan NGO Islam Insyallah,” ujarnya.

Sabtu lalu, Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm dan bertindak membakar al-Quran.

Beliau bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Susulan tindakan berkenaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia oleh Paludan itu dan menggesa tindakan tegas diambil terhadap pelaku serta memastikan langkah drastik diambil pada masa depan, dalam menangani peningkatan membimbangkan Islamofobia di negara berkenaan.-MalaysiaGazette