Razman Zakaria

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed dinasihatkan supaya memberi tumpuan terhadap faktor kekalahan beliau dalam dua pilihan raya umum (PRU).

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, Nur Jazlan juga perlu memikirkan mengapa UMNO gagal menang walau satu kerusi di lima buah negeri pada PRU lepas.

Nasihat tersebut diberikan selepas Nur Jazlan meminta pemimpin Perikatan Nasional (PN) melakukan sesuatu supaya masalah psikologi dihadapi Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak berlarutan dan menjadi lebih kronik.

“Bagus Datuk Nur Jazlan, susah-susah saja beratkan kepala fikir untuk Perikatan Nasional.

“Ada baiknya datuk fokus kenapa datuk kalah teruk di kerusi Parlimen Pulai dua penggal berturut-turut (PRU14 dan PRU15).

“Ada baiknya Datuk fikir kenapa UMNO langsung tidak memenangi satu kerusi Parlimen pun di Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol tersebut.

Razman turut menasihatkan Nur Jazlan untuk memikirkan kesan yang akan menimpa parti itu selepas memutuskan jawatan Presidan dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan.

“Ada baiknya datuk fikir apa kesan kepada penyokong UMNO dari kalangan orang muda akibat jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan,” ciap Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Perak di Twitter.

Sebelum ini media melaporkan, Nur Jazlan meminta pemimpin PN menyedarkan Abdul Hadi supaya mengucap dan terima hakikat bahawa PN gagal jadi kerajaan walaupun menang banyak kerusi.

Ini berikutan, Ahli Parlimen Marang itu mengeluarkan kenyataan pemberian wang kepada pengundi ketika PRU15 sebagai sedekah.

Nur Jazlan juga melahirkan kebimbangan apabila bekas Duta Khas ke Timur Tengah itu didakwa semakin hilang kawalan untuk berfikir secara waras sehingga menjejaskan imejnya sebagai agamawan.

“Saya syak Presiden Pas mengalami masalah kemurungan politik melampau sebab itulah dia masih duduk, merapu, meroyan dan sibuk nak campur urusan penubuhan Kerajaan Perpaduan. Dia ini masih tak berhenti-henti bercakap macam masih tak boleh terima takdir Allah.

“Malah seperti biasa, Abdul Hadi cukup popular dengan siri fatwa-fatwa politik yang hanya memberi keuntungan kepada partinya saja. Bila orang buat salah, tapi bila dia buat terus ada dalil untuk menghalalkan semuanya termasuklah yang haram boleh dihalalkan asalkan memberi laba kepada Abdul Hadi dan Pas.

“Baru saja tiga hari lepas Abdul Hadi keluarkan fatwa baharu. Sogok duit kepada pengundi tak dikira rasuah sebaliknya kalau ikutkan hukum Fikah Haji Hadi, ia dianggap sebagai sedekah. Abdul Hadi menghalalkan wang rasuah undi untuk beli undi dan bukan satu dosa besar,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini Abdul Hadi mendakwa, pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika PRU15 adalah sedekah.

Ahli Parlimen Marang itu mengulas perkara itu sebagai reaksinya terhadap tindakan UMNO Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan PRU15 di tiga kerusi Parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman yang dimenangi calon Pas. – MalaysiaGazette