Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeo melawat tapak pameran sukan bermotor ketika meninjau keadaan litar di Speedway PLUS Karting Circuit, I-JEP Subang Jaya, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 27 JANUARI 2023.

SUBANG – Sebanyak 15 litar sukan permotoran telah diperiksa dan diperakui selamat oleh Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) untuk menganjurkan acara.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, menerusi mesyuarat yang diadakan pada 13 Januari lalu, bagi menganjur acara sukan bermotor dua perkara yang perlu dipatuhi penganjur iaitu mempunyai lesen penganjuran dan lesen litar.

“Selaras dengan Seksyen 36 Akta Pembangunan Sukan 1997, Akta 576 yang memperuntukkan syarat penganjur sukan bermotor hendaklah memohon lesen untuk beroperasi dan menganjurkan acara bermotor iaitu untuk tempatan bertempoh 30 hari dan antarabangsa adalah 90 hari,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media mengenai sukan bermotor di Malaysia di Speedway PLUS Karting Circuit, di sinui, hari ini.

Menurut Hannah, peraturan tersebut telah lama dikuatkuasakan oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS), cuma ramai penganjur tidak menyedari dan tidak mahu memohon lesen yang diperlukan.

Tambah beliau, mereka memberi alasan sukar untuk mematuhi peraturan penambahbaikan bagi memastikan litar yang digunakan selamat untuk peserta.

“Memang lesen ini sudah ada dalam amalan cuma orang tak mahu mohon dan salah guna logo KBS tanpa kebenaran kita dan mengundang masalah di kemudian hari,” ujarnya.

Tambah beliau, ramai penganjur sukar permotoran memberi alasan kononnya sukar untuk mematuhi peraturan penambahbaikan yang perlu lakukan untuk memastikan litar yang bakal digunakan lebih selamat untuk peserta.

“Maka mereka memilih untuk tidak memohon lesen penganjuran dan operasi litar serta buat tidak tahu mengenai peraturan ini dan perkara seperti inilah yang kita nak pastikan tidak berulang selepas ini,” katanya

Sementara itu, Hannah meminta pihak yang berhasrat membina litar sukan pemotoran menyediakan bajet yang mencukupi dan mempunyai sokongan kewangan yang kukuh bagi menampung kos penyelenggaraan.

“Kita perlu hentikan budaya bina litar tetapi tidak bersedia dengan peruntukan atau bajet kewangan yang stabil untuk penyelenggaraan berkala litar,” katanya.

Katanya, tindakan mengabaikan penyelenggaraan memberi risiko buruk kepada peserta yang majoritinya belia. -MalaysiaGazette