KUALA LUMPUR – Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan (PPK) sepatutnya dimansuhkan.
Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang P. Ramasamy berpendapat, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun tidak seharusnya memberi nasihat kepada Kerajaan Perpaduan.
Ini kerana menurut beliau, Idrus merupakan Peguam Negara yang dilantik oleh kerajaan di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ramasamy berkata, pasukan yang ditubuhkan oleh Ismail Sabri bersifat mala fide dan bermotivasi untuk menyalahkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad atas penarikan balik rayuan.
“Bagaimana pasukan petugas yang ditubuhkan oleh kerajaan dahulu boleh membuat kesimpulan bahawa penarikan balik rayuan ke atas Batu Putih disifatkan sebagai tidak wajar sedangkan terdapat motif politik yang jelas di pihak kerajaan dahulu.
“Memandangkan Peguam Negara sekarang Idrus Harun adalah AG yang sama di bawah kerajaan dahulu, bagaimana beliau boleh menasihati kerajaan sekarang tentang kedaulatan Batu Puteh?” soalnya.
Ramasamy turut mempersoalkan mengapa Kerajaan Perpaduan masih mengekalkan Idrus sebagai Peguam Negara.
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu berpendapat, Idrus seharusnya digantikan dengan peguam negara yang baharu.
“Saya tidak faham kenapa Idrus masih lagi AG di bawah Kerajaan Perpaduan sekarang. Sewajarnya beliau digantikan oleh seseorang yang mungkin berkongsi cita-cita Kerajaan Perpaduan sekarang yang berlabuh oleh PH (Pakatan Harapan).
“Mengapa beliau meneruskan tugas yang diamanahkan oleh kerajaan dahulu? Kenapa pasukan petugas di Batu Putih masih relevan. Ia sepatutnya dimansuhkan sebaik sahaja kerajaan perpaduan ditubuhkan.
“Mungkin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu mengkaji semula sifat berat sebelah pasukan petugas yang ditubuhkan oleh kerajaan dahulu di Batu Putih,” katanya.
Beliau mempersoalkan bagaimana sebuah pasukan petugas yang berdendam dapat melakukan keadilan terhadap kehilangan kedaulatan Malaysia di Batu Putih.
Ramasamy berkata, Kabinet tidak mempunyai pilihan untuk menerima keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Ini kerana secara fakta, penyerahan awal itu dilakukan secara bersama oleh Singapura dan Malaysia.
Idrus dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerajaan berpendapat, tindakan untuk menarik balik kedua-dua permohonan semakan ke atas keputusan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dan Permintaan Tafsiran ke atas keputusan yang sama adalah tidak teratur dan tidak wajar
Pada Oktober 2021, Ismail Sabri mengumumkan pelantikan Tan Sri Mohamed Apandi sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Khas bagi tujuan semakan semula undang-undang berkenaan isu Batu Puteh.
Pada 28 Mei 2018, kerajaan PH di bawah pimpinan Dr. Mahathir menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura.
Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Pulau Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia selain memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Pulau Batu Puteh akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Malaysia memfailkan permohonan semakan pada 2 Februari 2017 dan pada 30 Jun tahun sama. – MalaysiaGazette