Seorang lelaki memegang plakad tanda bantahan ketika berkumpul bagi menghantar memorandum membantah serta mengecam tindakan pelampau sayap-kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan yang membakar Al-Quran di Ibu negara Sweden Stockholm di hadapan Kedutaan Sweden di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 27 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Polis telah membuka kertas siasatan berhubung tindakan demonstrasi aman dan serahan memorandum membantah pembakaran al-Quran dan solidariti bantahan penghinaan agama Islam di hadapan Kedutaan Belanda dan Sweden di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya mendapati berlaku penganjuran dua  perhiimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang diadakan di hadapan Kedutaan Belanda  dan Kedutaan Sweden.

“Hasil pemerhatian polis mendapati seramai lebih kurang 80 orang (difahamkan wakil NGO dan perseorangan) telah menyertai perhimpunan yang diadakan di hadapan Kedutaan Belanda.

“Manakala pada masa yang sama seramai lebih kurang 400 orang lagi individu dikesan menyertai perhimpunan yang diadakan di hadapan Kedutaan Sweden,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya. Foto AFFAN FAUZI, 25 JANUARI 2023.

Tambah Noor Delhan, rentetan dua insiden itu,  dua kertas siasatan itu telah dibuka di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana berhimpun tanpa kebenaran.

“Kesemua individu yang sedang dikenal pasti terlibat di dalam kedua-dua perhimpunan dan demonstrasi bantahan tersebut akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk diambil keterangan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan yang dijalankan polis.

“Kertas siasatan ini akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut dalam kes tersebut.

“Pada masa sama, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang dan tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak yang terlibat tanpa sebarang kompromi dalam menjamin ketenteraman awam,” tegasnya. – MalaysiaGazette