KUANTAN – Campsite@Alam Flora di Pantai Sungai Ular di sini secara rasminya dibuka kepada orang awam bermula hari ini.
Ketua Pegawai Operasi Alam Flora Sdn Bhd, Azahari Zainal Abidin berkata, ia selari dengan pelancaran semula program transformasi kawasan perkhidmatan iaitu program Grand 1 Supervisor 1 Transformation Area (Grand 1S1T) yang mula dilaksanakan pada tahun 2017.
“Program 1S1T merupakan inisiatif penyelia-penyelia Alam Flora untuk membuat penambahbaikan di kawasan konsesi iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang.
“Kerja-kerja penambahbaikan tersebut dijalankan di kawasan transformasi sedia ada dan transformasi kawasan baru yang beri impak tinggi terhadap komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis perasmian Campsite@Alam Flora dan penyampaian hadiah program Grand ISIT di Pantai Sungai Ular di sini hari ini.
Majlis terbabit dirasmikan Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin dan turut dihadiri Pengarah SWCorp Pahang, Sharudin Hamid.
Tambah Azahari, sehingga tahun ini, Program 1S1T telah meliputi 481 kawasan perumahan dan komersil iaitu 249 kawasan di Kuala Lumpur, 30 kawasan di Putrajaya manakala di Pahang melibatkan 202 kawasan yang membabitkan lebih 116 orang penyelia dan 24 eksekutif operasi setiap tahun.
Mengulas berkenaan Campsite@Alam Flora, Hamdan berkata, tapak perkhemahan itu merupakan antara 15 tapak yang telah diusahakan di sekitar bandar raya Kuantan membabitkan Pantai Sungai Ular, Taman Gelora dan Jambatan Gantung Kolong Pahat, Sungai Lembing.
“Program ini yang menariknya, melihat kepada inisiatif bersama masyarakat. Perubahan bagi sesuatu kawasan di mana kita menambah nilai daripada segi kebersihan dan keindahan kawasan.
“Ini sudah pasti memberi keuntungan kepada masyarakat setempat di mana ia seperti satu suntikan modal kepada mereka bagi menggalakkan kehadiran pelancong,” tambahnya.
Menurut Hamdan lagi, buat masa ini, tapak perkhemahan di tepi pantai itu dibuka secara percuma dan hanya menetapkan syarat supaya pengguna sentiasa menjaga kebersihan.
Selain itu, katanya, terdapat pihak berkuasa tempatan membuat rondaan di kawasan tersebut mengambil kira faktor keselamatan pengguna lebih-lebih lagi ketika Monsun Timur Laut (MTL).
“Insya-Allah fasa kedua nanti kita akan bangunkan surau dan tandas,” ulas Hamdan.
Beliau berkata, pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) akan terus memberi sokongan dan kerjasama kepada Alam Flora dalam meneruskan program berimpak tinggi bagi kelestarian alam sekitar serta berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang.- MalaysiaGazette