Penerima Anugerah Ikon Pendidikan MAIWP 2023, Dr. Mohammad Ameerullah Sahudin bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 28 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – “Terima kasih Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kerana terlalu banyak memberi sumbangan kepada saya dari peringkat sekolah sehingga ke menara gading.”

Itu luahan gembira Ikon Pendidikan MAIWP, Dr Muhammad Ameerullah Sahudin.

Sebelum ini beliau yang kini berusia 29 tahun itu merupakan penerima bantuan MAIWP sejak di bangku sekolah yang kini merupakan seorang Pensyarah Kanan di Jabatan Kimia, Fakulti Sains Universiti Malaya.

“Bantuan pertama yang saya terima ialah bantuan zakat Fisabillilah sepanjang lima tahun saya bersekolah di Sekolah Menengah Agama MAIWP dari tahun 2007 hingga 2011.

“Kemudian saya memperoleh bantuan persediaan am Institut Pengajian Tinggi (IPT)  untuk melanjutkan pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2013,” katanya kepada media pada Karnival MAIWP di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Terdahulu, beliau dikurniakan anugerah Ikon Pendidikan MAIWP oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan memperoleh sijil penghargaan, plak serta cek cura bernilai RM3, 000.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan anugerah Ikon Pendidikan MAIWP 2023 kepada Dr Muhammad Ameerullah Sahudin sambil diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (dua kiri) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd NaÕim Mokhtar (kanan) pada Majlis Pelancaran Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 28 JANUARI 2023.

Muhammad Ameerullah meluahkan perasaan gembira dan teruja dengan penganugerahan yang diterima dan berharap ia dapat menjadi inspirasi kepada anak muda serta bertekad untuk memberi sumbangan.

“Harapan saya kepada anak muda supaya tuntutlah ilmu dan sambung pengajian jika ada peluang kerana ilmu dapat membentuk akhlak dan membantu dalam kehidupan seharian serta sebagai pendorong untuk laluan kerjaya.

“Bagi sumbangan, saya ingin membantu anak-anak asnaf dari segi  pendidikan dengan memberikan ceramah, menyampaikan ilmu dan membimbing mereka untuk sentiasa semangat dalam menuntut ilmu pendidikan,” katanya.

Menurut beliau, tunjang utama yang membolehkan beliau berjaya pada hari ini adalah kerana dibesarkan oleh ibunya yang merupakan ibu tunggal.

“Ibu sangat sukar membesarkan lima orang anak bersendirian, jadi saya nekad untuk belajar bersungguh-sungguh supaya peroleh kerjaya yang baik dan dapat membalas jasa serta membantu ibu dan keluarga,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Muhammad Ameerullah  kini sedang menjalankan penyelidikan untuk membangun alat prototaip, sensor kimia bagi memantau keselamatan makanan sama ada yang segar atau tidak.

“Dengan adanya alat itu, pengguna tidak perlu lagi lihat kepada tarikh luput atau guna sebelum pada label makanan kerana praktis tersebut tidak boleh dinilai yang mengakibatkan pembaziran kerana dianggap sudah tidak boleh dimakan.

“Jadi, saya bangunkan satu sensor alat mudah alih supaya dapat mengesan makanan yang betul-betul sudah rosak dan kerajaan telah berikan geran sebanyak RM300,000 untuk bangunkan sensor yang kedua,” ujarnya.

Muhammad Ameerullah pernah menerima pelbagai anugerah di peringkat Antarabangsa antaranya Anugerah Persatuan Kimia Amerika Syarikat dan United Kingdom untuk mewakili Malaysia ke persidangan bertaraf dunia di Washington, Boston, University Of Harvard, USA dan University of Tsukuba, Japan. – MalaysiaGazette