Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR – Pas bersedia menerima sesiapa sahaja bekas pemimpin UMNO yang dipecat Jumaat lalu untuk menyertai parti itu.

Naib Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebagai parti yang bergabung dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), mereka juga boleh menyertai mana-mana parti dalam Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, katanya, setakat ini Pas belum berbincang mengenai perkara itu, tetapi mengalu-alukan jika ada antara mereka yang mahu menyertainya.

“Sebagai sebuah parti gabungan yang berdaftar, kita menerima sesiapa sahaja di kalangan bekas ahli UMNO yang layak.

“Saya percaya semua yang dipecat atau digantung pada malam Jumaat lalu sedang berkira-kira untuk melakukan langkah seterusnya. Jadi, kita tunggulah daripada mereka sendiri untuk membuat keputusan seterusnya.

“Apa-apa pun PN sebagai parti gabungan yang sah di sisi undang-undang menerima sesiapa sahaja yang layak, setakat ini belum ada apa-apa perjumpaan dilakukan,” katanya di Terengganu hari ini.

Pada Jumaat lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pemecatan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan penggantungan enam tahun keahlian bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang kemudiannya dipecat atas kehendak beliau sendiri.

Turut digantung keahlian bagi tempoh sama adalah Ketua UMNO Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.