KUALA LUMPUR – Enam negeri yang dilanda cuaca dingin hanya bersifat sementara, lapor Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
Enam negeri itu ialah Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan dengan catatan julat suhu minimum 26 hingga 30 darjah selsius.
“Keadaan cuaca sedemikian yang berlaku sejak beberapa hari lalu hanya sementara dan peluang untuk berlaku hanya pada awal tahun semasa Monsun Timur Laut.
“Orang ramai tidak perlu risau sebaliknya harus bersyukur dan menikmati cuaca yang agak dingin dan nyaman itu,” kata METMalaysia hari ini.
Menurutnya, orang ramai perlu sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui pelbagai medium sebaran rasmi MetMalaysia.
Sebelum ini, media melaporkan sejak 17 Januari lalu suhu sejuk antara 18 hingga 19 darjah Celcius melanda di beberapa kawasan di daerah Sik, Kedah.
Sementara itu METMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan kategiru buruk dan waspada di beberapa negeri termasuk Sabah dan Sarawak.
Amaran hujan berterusan kategori buruk dijangka berlaku di Sarawak melibatkan daerah Kuching, Serian, Samarahan, Sibu dan Selangau serta Mukah di Dato, Matu dan Dalat.
Manakala Sabah berlaku hujan berterusan di Sandakan, Telupid dan Beluran serta Kudat sehingga 1 Februari ini.
Bagi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor amaran hujan berterusan kategori waspada sehingga hari ini. – Malaysia Gazette