Amir H. Ghazali

GEORGE TOWN – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang yakin ‘gelombong hijau’ tidak boleh menggugatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negeri ini menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Ketua Penerangannya, Amir H. Ghazali berkata, meskipun Perikatan Nasional (PN) menang tiga kerusi Parlimen semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) namun ia bukan ukuran kekuatan sebenar parti itu kerana keadaan latar PRU dan PRN  berbeza.

Jelasnya, pembangkang kekurangan modal untuk melemahkan Kerajaan Pulau Pinang memandangkan pimpinan diketuai Ketua Menteri, Chow Kon Yew tidak mengorbankan hak kepentingan orang Melayu sepanjang pentadbirannya.

“Bukan setakat itu sahaja, kerajaan negeri Pulau Pinang tetap komited untuk memastikan keadilan sosial serta nasib orang Melayu terbela dan tidak dipinggirkan daripada arus permodenan.

“Saya difahamkan Parti Gerakan mempunyai niat yang sama untuk merampas balik kerajaan Pulau Pinang. Namun saya di sini ingin menegaskan kedudukan demografi dan populasi penduduk Pulau Pinang yang kepelbagaian etnik tahu dan sedar siapakah Parti Gerakan yang rekodnya sangat buruk selama memerintah Pulau Pinang berbanding kerajaan yang sekarang ini.

“Jadi PN boleh berangan-angan tetapi usahlah bermimpi untuk menawan Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Amir berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan yang mendakwa PN akan menawan negeri PH termasuk ‘mengoncang’ Pulau Pinang.

Tambah Amir,  PKR Pulau Pinang tidak pernah gentar dengan gelombang hijau walaupun kerusi Permatang Pauh yang juga kubu kuat telah jatuh ke tangan PN.

Katanya, selain itu, isu yang bersifat perkauman dan sentimen agama di negeri ini sudah tidak relevan lagi untuk dimainkan oleh pihak pembangkang.

“Kalah di Permatang Pauh tidak bermakna kita sudah dianggap lemah. Sebaliknya, kita akan bangkit untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya yang telah dicuri oleh pengkhianat.

“Malah, berasaskan pada data-data dan statistik komposisi penduduk di Pulau Pinang, diyakini tiada apa-apa masalah yang boleh menggugat kerajaan PH.

“Ini turut juga diakui oleh pengamat politik serta penganalisis politik yang menganggap rekod baik kerajaan Pulau Pinang amat sukar untuk ditembusi oleh parti lawan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast