zaid ibrahim majlis peguam agong
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Jawatan yang diberikan kepada bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi kepada Perdana Menteri bukan tetap.

Sebaliknya, kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, jawatan atau tugasan itu memerlukan idea dan pemikiran untuk menambahbaik ekonomi negara yang merudum akibat kesan pandemik Covid-19.

Katanya, beliau yakin Nurul Izzah dapat membantu Perdana Menteri yang juga bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha meletakkan ekonomi negara pada landasan yang betul menerusi nasihat dan perancangan yang membina.

“Soal nepotisme ini tidak perlu sesiapa bimbang. Kalau Nurul Izzah boleh buat kerja dan laksanakan tanggungjawabnya, kenapa perlu kita pertikai dan persoalkan.

“Bekas Perdana Menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew pun lantik anaknya Lee Hsien Loong sebagai menteri sehingga sekarang jadi Perdana Menteri. Tidak timbul pun soal nepotisme kerana dia boleh buat kerja.

“Sama di sini (Malaysia), kita boleh lantik anak, cucu mahupun isteri kalau mereka ada kelebihan daripada orang lain,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Semalam, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa 3 Januari lalu.

Beliau mengesahkan pelantikan itu dalam satu temu bual bersama sebuah akhbar berbahasa Inggeris.

Menurut Zaid, pelantikan anak beranak dalam jawatan kerajaan tidak akan Nampak nepotisme sekiranya yang dilantik itu berjaya menunjukkan hasil kerja yang memuaskan.

“Kalau kerja baik, cemerlang, barulah tidak nampak nepotismenya atau kesan buruk nepotisme itu,” katanya.

Beliau turut mencadangkan Nurul Izzah dibayar gaji supaya dapat merasakan bertanggungjawab terhadap tugasan yang diamanahkan. – MalaysiaGazette