Mohd Syahir Che Sulaiman

KUALA LUMPUR – Pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan bagi ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri disindir sebagai ‘trio-madani’ untuk memulihkan ekonomi negara.

Ahli Parlimen Bachok Mohd Syahir Che Sulaiman secara sinis berkata, pelantikan anak sulung Anwar itu merupakan ‘reformasi institusi’ yang dilaungkan oleh Kerajaan Perpaduan selama ini.

“Trio-Madani untuk pulihkan ekonomi. Tidak cukup dengan Menteri Ekonomi yang merupakan regu rapat kepada Perdana Menteri, difahamkan puteri Perdana Menteri telah pun dilantik sebagai Penasihat Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.

“Suatu perkembangan ‘reformasi institusi’ yang menarik.

“Pastinya Perdana Menteri punyai wewenang (hak) untuk melantik sesiapa sahaja yang pada hematnya memiliki wahana, kelayakan dan kemampuan untuk membantu beliau mengurus ekonomi dan kewangan negara,” kata Penolong Setiausaha Agung Pas Pusat itu.

Dalam kenyataan, Mohd. Syahir mengaitkan pelantikan itu sebagai amalan nepotisme dan kronisme.

Katanya,  Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka mendefinasikan kronisme sebagai amalan mengutamakan atau mementingkan teman rapat atau kawan rapat dalam pelantikan sesuatu jawatan, pemberian sesuatu projek dan sebagainya.

Manakala nepotisme pula merupakan suatu perbuatan atau amalan yang mementingkan atau melebihkan sanak-saudara dan kawan-kawan sendiri sahaja.

Mohd Syahir berkata, dalam suasana ekonomi domestik yang mencabar dan ekonomi dunia yang berdepan trend ‘slowbalisation‘ rakyat amat mengharapkan pertumbuhan ekonomi kembali rancak.

Rakyat katanya, juga amat berharap agar kadar inflasi terkawal, kos sara hidup dibendung dan seterusnya lebih peluang untuk mendapat pekerjaan.

“Semoga Perdana Menteri beroleh wahana dan formula terbaik untuk mencerakinkan segala permasalahan yang membelenggu negara ini.

“Kepada trio-madani Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Menteri Ekonomi dan Penasihat Ekonomi dan Kewangan Perdana Menteri, diucapkan selamat maju jaya!” kata Mohd Syahir.

Media semalam melaporkan Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PRK memberitahu beliau dilantik ke jawatan tersebut berkuatkuasa pada 3 Januari lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 Nurul Izzah gagal mempertahankan Parlimen Permatan Pauh yang disandangnya sejak 2018.

Perdana Menteri semalam mempertahankan pelantikan Nurul Izzah degan menyatakan beliau mempunyai kelayakan untuk jawatan tersebut.

Katanya, Nurul Izzah bukan sahaja memiliki ijazah pertama bidang kejuruteraan tetapi ijazah kedua dalam dasar awam merangkumi ekonomi, politik dan sosial dari Johns Hopkins School of Advanced International Studies, sebuah universiti di Amerika Syarikat.

“Saya minta, pelawa dia bantu saya di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan tetapi saya tidak bayar apa-apa elaun kepada dia,” kata Anwar.- MalaysiaGazette