KUALA LUMPUR – Waktu puncak pagi dan petang bagi perkhidmatan LRT Laluan Ampang dan juga Monorel
dilanjutkan bermula hari ini bagi mengurangkan kesesakan di beberapa stesen.
Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) menerusi kenyataan berkata, waktu puncak pagi dipanjangkan dari pukul 6.30 hingga 10.30 pagi.
Manakala waktu puncak petang telah dipanjangkan dari pukul 4.30 petang hingga 8.30 malam.
“Ini adalah bagi memberi kemudahan kepada pengguna untuk merancang perjalanan,” kata Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) menerusi kenyataan.
Sebagai rekod, perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling di antara dua stesen LRT Bandaraya dan LRT Masjid Jamek yang telah dihentikan operasi pada hari Jumaat lepas apabila landasan berhampiran stesen LRT Bandaraya didapati bengkok.
Sementara itu, menurut Rapid Rail, operasi laluan alternatif perkhidmatan LRT Laluan Ampang / Sri Petaling, yang melibatkan perkhidmatan tren ‘shuttle’ antara stesen LRT Hang Tuah dan LRT Masjid Jamek dan bas perantara percuma berjalan lancar pada hari ini.
Dalam masa yang sama, stesen-stesen utama seperti stesen LRT Hang Tuah dan stesen LRT Masjid Jamek pada waktu puncak pagi dan petang mendapati pergerakan penumpang adalah lancar dan terkawal.
“Walaupun keadaan sesak dengan jumlah penumpang yang tinggi ekoran warga kota yang telah kembali bekerja selepas cuti perayaan Tahun Baru Cina,” tambahnya.
Tambah pengendali perkhidmatan tersebut, sebanyak 34 buah bas perantara percuma telah diaktifkan bagi membawa penumpangpenumpang dari stesen LRT Hang Tuah dan LRT Masjid Jamek sebagai pilihan perjalanan alternatif.
Selain itu, seramai 348 kakitangan Prasarana merangkumi anggota Polis Bantuan dan kakitangan sokongan telah berada di stesen-stesen utama bagi mengawal pergerakan penumpang dan membantu perjalanan penumpang.- MalaysiaGazette