Mohd Na'im Mokhtar

PUTRAJAYA – Dalam usaha menjayakan visi gagasan ‘Membangun Malaysia Madani’, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hari ini memperkenalkan Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (Al-Falah).

Menterinya, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, proses merangka pelan gerak kerja itu dilakukan melalui libat urus dan kesepakatan ketua agensi hal ehwal Islam serta wakil semua agensi berkaitan.

Menurutnya, pelan Al-Falah bagi tempoh lima tahun dari 2023 hingga 2027 itu mengandungi lima teras dan 10 fokus gerak kerja.

“Lima teras itu meliputi Pentadbiran Islam Mampan, Kesejahteraan Insan, Kemuliaan Syariah, Kepimpinan Berdaya Cipta dan Kehormatan Institusi Islam.

“Ia merupakan sebuah inisiatif utama yang sesuai serta praktikal untuk bersama-sama merealisasikan gagasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan agensi-sgensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di sini, hari ini.

Pada 19 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan kerangka dasar baharu untuk negara dikenali sebagai ‘Membangun Malaysia Madani’ yang dirumus bagi mencipta lonjakan baharu kepada negara.

‘Membangun Malaysia Madani’ menggantikan konsep ‘Keluarga Malaysia’ ketika pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sebelum ini.

Ia terdiri daripada enam tonggak dasar iaitu M (keMampanan), A (kesejAhteraan), D (Daya cipta), A (hormAt), N (keyakiNan) dan I (Ihsan).

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, pelan itu dirangka berasaskan falsafah dan semangat laungan azan ‘Hayya ‘Alal Falah’ yang bermaksud ‘mari bersama menuju kejayaan’ yang sentiasa lestari dalam jiwa serta minda umat Islam, khususnya pentadbiran jentera pengurusan Hal Ehwal Agama.

Beliau sekali gus mengajak seluruh warga Hal Ehwal Agama untuk berganding bahu membina semula kegemilangan tamadun ummah menerusi landasan konsep ‘Malaysia Madani’ yang diperkenalkan Anwar.

“Bagi mencapai matlamat itu, kita menggariskan tiga teras strategik, iaitu menjayakan gagasan Malaysia Madani, membentuk kesatuan fikrah dan gerak kerja seluruh kepimpinan agensi serta warga kerja Hal Ehwal Agama, dan memandu pembabitan serta sokongan umat Islam,” tambahnya. – MalaysiaGazette