KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan untuk memulakan kajian semula pentadbiran duti anti-lambakan ke atas import dagangan keluli tahan karat gulungan sejuk (CRSS) dari China, Korea Selatan, Taipei dan Thailand.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan hari ini berkata kajian semula itu adalah selaras dengan subseksyen 28(6) Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 (Akta 504) dan peraturan 34 Peraturan-Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 (Peraturan).
“Pengeluar tempatan memohon kajian semula pentadbiran dan berdasarkan keterangan bahawa penamatan duti anti-lambakan berkemungkinan menyebabkan lambakan dan kemudaratan akan berterusan atau berulang kepada pengeluar tempatan,” kata kementerian itu.
MITI berkata keputusan itu diambil setelah mempertimbangkan permohonan dan maklumat yang dikemukakan oleh pengeluar tempatan, Bahru Stainless Sdn Bhd.
Syarikat itu memohon kajian semula pentadbiran terhadap duti anti-lambakan yang dikenakan terhadap import CRSS dalam bentuk gegelung, kepingan atau apa-apa bentuk lain dengan ketebalan antara 0.3 milimeter hingga 6.5 milimeter dan kelebaran tidak lebih daripada 1,600 milimeter, tidak termasuk CRSS dengan kemasan sepuh lindap berkilat, No. 8 (Kemasan Cermin), timbul, keras, gores atau berwarna; atau CRSS dengan nilai kekerasan melebihi 250HV yang berasal atau dieksport dari negara-negara terbabit.
Duti anti-lambakan semasa yang dikenakan terhadap import dagangan subjek yang berasal atau dieksport dari China, Korea Selatan, Taipei dan Thailand, berkadaran dari NIL hingga 111.16 perarus akan tamat tempohnya pada 7 Feb, 2023.
“Selaras dengan peruntukan di bawah Akta 504 dan Peraturan, penentuan muktamad bagi kajian semula pentadbiran akan dibuat dalam tempoh 180 hari daripada tarikh pemulaan,” kata MITI.
Kementerian itu akan mengedarkan soal selidik dan dokumen berkaitan kepada pihak berkepentingan seperti pengeluar tempatan, pengeksport/pengeluar asing dagangan subjek dan pengimport serta kerajaan China, Korea Selatan, Taipei dan Thailand.
Pihak berkepentingan lain yang berhasrat untuk mengambil bahagian dalam kajian semula pentadbiran itu hendaklah memohon soal selidik secara bertulis kepada MITI tidak lewat dari 11 Feb, 2023, katanya.
MITI berkata pihak berkepentingan dipelawa untuk menghantar pandangan secara bertulis, menjawab soal selidik dan mengemukakan maklumat sokongan tidak lewat dari 26 Feb, 2023.
“Sekiranya pihak berkepentingan tidak mengemukakan maklumat yang perlu atau maklumat dan pandangan itu tidak diterima dalam bentuk yang memadai dalam had masa yang dinyatakan, kerajaan boleh membuat penentuan muktamad berdasarkan kepada fakta-fakta yang sedia ada,” kata kementerian itu.- BERNAMA