Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (kiri) menyampaikan anugerah Olahragawan Kebangsaan kepada pelumba basikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang (dua kiri) pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2021 di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 31 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri hanya untuk memantau perolehan kerajaan yang dilakukan melalui tender berjalan dengan teratur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, lantikan anak perempuannya itu bukan bertujuan untuk mengambil projek kerajaan sebagai mana yang berlaku dalam pentadbiran lalu.

“Dia (Nurul Izzah) bantu dan saya percaya dia pastikan supaya kontrak, tender itu teratur, itu sahaja bukan untuk ambil projek.

“Tapi yang kritik ini termasuk (pemimpin) yang bagi kontrak ratusan juta kepada anak dia, tak apa pula.

“Ada yang ada gaji (tapi) tak ada kerja, banyak juga, penasihat-penasihat dan Duta, macam-macam jawatan, itu kita harus bezakan,” katanya.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Anugerah Sukan Negara 2021 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini.

Pelantikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mendapat kecam dan kritikan pelbagai pihak susulan didakwa tidak selari dengan perjuangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menentang amalan nepotisme, sebelum ini.

Terbaharu, kritikan terbuka dibuat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menyifatkan amalan nepotisme itu satu pengkhianatan kepada rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berlapang dada dan menerima kritikan itu namun kesal ada pihak yang tidak ikhlas dalam membuat teguran dan berdepan konflik integriti.

“Saya terima baik teguran, itu okay, cuma saya nak jelaskan berbeza dengan pengalaman lalu, itu soal upah dan ganjaran yang tinggi.

“Dia datang untuk bantu, kalau datang bantu tiada kedudukan (jawatan) nanti akan dipersoalkan, tidak telus dan betul.

“Orang yang kritik kalau ikhlas, saya tiada masalah, masyarakat sivil mahu supaya jangan ada amalan tidak sihat.

“(Tapi) tidak wajar orang yang memberikan ratusan juta kontrak kepada anak dan menantu, ada yang mencecah hampir sampai bilion ringgit semasa jadi Perdana Menteri. Sekarang cuba cakap soal ketelusan,” katanya.

Ahli Parlimen Tambun turut memberi jaminan salah guna kuasa dan jawatan dalam pentadbirannya khusus dalam pelantikan anak perempuannya itu tidak akan berlaku .

“Saya nak bagi jaminan Insya-Allah, pentadbiran kita walaupun ada yang kurang puas hati tentang keputusan ini, menentang rasuah, tidak akan salah guna kuasa untuk memperkayakan mana-mana pegawai atau pemimpin,” katanya.

Ditanya tentang amalan nepotisme dalam pelantikan Nurul Izzah itu, beliau menegaskan, ia berbeza dengan keadaan sekarang.

“Nepotisme itu kalau kita letakkan jawatan untuk menyalahgunakan kuasa, untuk memperkayakan diri, menambah kontrak dan mendapat upah yang tinggi.

“Ini tidak berlaku (lantikan Nurul Izzah),” katanya.

Beliau juga mengulangi ketegasannya bahawa meskipun Nurul Izzah diberi jawatan itu, namun bukan bermakna beliau mempunyai jawatan lain di Kementerian Kewangan (MoF).

“Tiada jawatan (lain), jawatan yang berkait dengan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan MOF, tapi tidak ada ganjaran.

“Setakat ini saya tak tengok ada pejabat lagi, dia duk bantu saya, tapi kena cari pejabat juga lah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.