Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUANTAN – Seorang pembantu perubatan sebuah hospital merupakan antara 450 individu yang dicekup Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang menerusi Op Tapis Khas Semalaysia baru-baru ini.

Lebih mengejutkan, seorang remaja berusia 14 tahun bersama tiga lagi rakannya yang berusia 15 hingga 18 tahun turut ditahan susulan penggunaan ketum ketika serbuan dijalankan di salah satu ‘port’ penagih dadah di Jerantut.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua mereka ditangkap menerusi operasi yang dijalankan serentak di 11 buah daerah di seluruh negeri ini selama tiga hari bermula 25 Januari lalu.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 35 orang pengedar/tokan dadah dan 12 orang ‘wanted person’ berjaya ditangkap, dengan satu tangkapan melibatkan penjawat awam berusia 50 tahun di daerah Bentong yang terlibat dengan penagihan dadah.

“Operasi menumpukan kawasan bandar, Felda dan kawasan perumahan di mana JSJN berjaya menggempur 28 ‘port’ penagihan dadah hasil daripada 297 serbuan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf (kanan) bersama Ketua JSJN Pahang, Superintendan Azmi Awang Lah (kiri)

Beliau berkata, menerusi siri serbuan tersebut, pihaknya juga berjaya merampas 57.72 gram dadah jenis syabu, 1,016.80 gram heroin, 17.99 gram ganja, 9.81 gram pil erimin 5, 31.17 gram pil yaba, 9.20 gram pil psikotropik dan 107.63 liter air ketum dengan nilai RM27,014.

“Selain itu, sejumlah RM470 wang tunai dan sebuah motosikal bernilai RM7,000.00 juga dirampas,” tambah Ramli.

Jelasnya, tangkapan turut membabitkan 21 orang warga asing melibatkan 18 warga Indonesia, dua warga Pakistan dan seorang warga Bangladesh.

Tambah beliau, kesemua tangkapan juga meliputi sebanyak 37.7 peratus atau 170 individu berumur lingkungan 25 sehingga 34 tahun, manakala 7.3 peratus atau 33 individu merupakan warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Dalam pada itu, Ramli mengingatkan orang ramai berkenaan Rang Undang-Undang (RUU) Racun (Pindaan) 2022, pindaan terhadap Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang melibatkan hukuman denda sehingga RM100,000 berbanding RM10,000 sebelum ini.

“Justeru, mereka yang ‘teruja’ meminum ketum untuk apa jua tujuan juga sepatutnya teruja dengan tambahan hukuman ini,” tambahnya.

Sebarang maklumat kegiatan dadah boleh disalurkan ke pusat kawalan kontinjen Pahang (CCC) di talian 09-5051999/2202 dan ‘hotline’ JSJN Pahang di talian : 09-5052287 atau balai polis berdekatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast