Antara 37 murid-murid Orang Asli SK Kuala Tahan tiba di UiTM Cawangan Pahang, Jengka bagi program Bengkel Anak Cemerlang: Aku & Keluarga hari ini.

KUANTAN – Kepentingan tahap kesedaran kesejahteraan psikologi terutama pada peringkat awal pembangunan murid-murid sekolah perlu diterapkan.

Kegagalan berbuat demikian menyebabkan risiko kegagalan akademik dan prestasi yang rendah, ketidakhadiran, tercicir, bahaya diri dan idea untuk membahayakan diri.

Bertepatan dengan isu itu, satu program Bengkel Anak Cemerlang: Aku & Keluarga telah diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang melibatkan 37 murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Tahan.

Program itu merupakan kesinambungan daripada geran penyelidikan yang diketuai Pensyarah Kanan UiTM Pahang, Dr. Nurshahira Ibrahim dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Pahang.

“Program sebegini amat signifikan diadakan kerana dapat memberi nilai tambah kepada murid orang Asli tentang penghayatan nilai kehidupan, perkembangan peribadi dan memberi sokongan berpanjangan terhadap pencapaian akademik mereka,” kata Rektor UiTM Cawangan Pahang, Prof Ts. Dr. Mohd Ilham Adenan pada majlis perasmian program tersebut.

Rektor UiTM Cawangan Pahang, Professor Ts. Dr. Mohd Ilham Adenan (tengah)

Beliau berkata, meskipun umum mengetahui kehidupan asas kalangan murid Orang Asli namun dengan cara ini dilihat membantu mereka menjadi warganegara yang sihat fizikal, mental, rohani dan spiritual sehingga mampu memberi sumbangan kepada negara pada masa depan.

Mohd Ilham dalam ucapannya menyambut baik saranan SK Kuala Tahan menyuburkan aktiviti-aktiviti komuniti murid Orang Asli dengan menghulur tangan kerjasama dengan semua pihak demi kesejahteraan kehidupan mereka.

“Jalinan kerjasama yang lebih jitu daripada sekolah dan LPPKN dapat menjadi penyumbang utama kepada pembangunan murid orang Asli masa depan yang lebih positif.

“Ini kerana kita mengetahui bahawa peringkat awal kanak-kanak kurang terdedah dengan kesedaran kesejahteraan psikologi yang menjadi tunggak utama kepada kerjaya mereka pada masa hadapan dan secara tidak langsung ia memberi kesan negatif kepada proses pembelajaran mereka di sekolah,” tambahnya. – MalaysiaGazette