Tapak pelupusan sampah haram itu dikatakan mampu menjejaskan pendapatan nelayan tempatan susulan berhampiran dengan kawasan persisiran pantai.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menubuhkan badan bertindak khas (task force) untuk meneliti dan menyelesaikan isu pengurusan sisa pepejal.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, dalam mesyuarat pertama kali badan bertindak khas yang berlangsung semalam, disasarkan sebanyak 100 lagi tapak pelupusan sampah haram akan ditutup dalam masa yang terdekat.

“Kegagalan menangani isu ini boleh memberi impak negatif kepada kebersihan di kawasan setempat sehingga menjejaskan kualiti kesihatan dan kelestarian alam sekitar,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu katanya, kini sebanyak 86 tapak pelupusan sampah haram telah berjaya ditutup.

Dalam masa yang sama, beliau menggesa Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk bersama-sama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) memperkasakan aspek pemantauan dan penguatkuasaan khususnya di peringkat negeri dan kerajaan tempatan.

Menurutnya, kerjasama ini penting dalam memastikan tiada kegiatan pencerobohan tanah bagi tujuan tapak pelupusan sampah haram.

Nga berkata, KPKT dengan kerjasama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) telah mengaplikasikan teknologi angkasa (remote sensing) bagi mengesan lokasi tapak pelupusan sampah haram dengan tepat di seluruh negara bagi memudahkan pemantauan dan penguatkuasaan oleh pihak berkenaan.

Terdahulu beliau berkata, mesyuarat badan bertindak khas itu turut dihadiri oleh pelbagai jabatan dan agensi yang berkaitan dengan aspek pengurusan sisa pepejal iaitu Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Jabatan Alam Sekitar (JAS),MYSA dan SWCorp. – MalaysiaGazette