TEXAS – Dua ekor monyet yang diambil dari Zoo Dallas ditemui di sebuah rumah terbiar, ketika polis terus mencari individu yang membawa ia keluar.
Insiden itu adalah yang terbaharu yang berlaku di zoo ini selepas kematian seekor burung nasar.
Polis telah dimaklumkan pada hari Isnin bahawa dua ekor monyet tamarin maharaja telah hilang.
Kakitangan zoo percaya mereka telah dicuri kerana baka ini biasanya tinggal berdekatan dengan rumah – dan monyet ini tidak berada di kawasan zoo.
Polis Dallas berkata, monyet itu ditemui dalam almari sebuah rumah terbiar di Lancaster, kira-kira 16 batu (26km) dari Dallas.
Kedua-dua monyet itu kemudian dikembalikan kepada zoo berkenaan.
Polis menggeledah rumah itu selepas menerima maklumat.
“Pihak polis memanggil pasukan kami untuk datang dan mengambil semula monyet tamarin yang sudah ditemui,” kata Zoo Dallas.
Penemuan itu selepas Polis Dallas meminta bantuan orang ramai mengenal pasti seorang lelaki yang dilihat dalam kamera litar tertutup berkeliaran di sekitar zoo sebelum haiwan itu hilang.
Polis berkata, mereka percaya seseorang telah memotong lubang di habitat dan mengambil kedua-dua haiwan tersebut.
Beberapa kejadian mencurigakan berlaku di zoo berkenaan selepas awal bulan ini seekor harimau bintang hilang dengan kesan pemotongan pada pagar kandangnya.
Ia kemudiannya ditemui dengan selamat.
Pekerja juga menemui potongan yang disengajakan pada kandang yang menempatkan monyet langur – walaupun tidak ada yang keluar.
Minggu lalu, seekor burung nasar yang hampir pupus ditemui mati di dalam kandangnya dengan “luka luar biasa”.
Burung itu adalah salah satu daripada hanya 6,500 yang masih wujud dan kematiannya sangat mencurigakan.
Kakitangan zoo berkata kehilangan burung nasar berwajah lappet berusia 35 tahun yang dipanggil Pin amat mendukacitakan.
Setakat ini polis Dallas enggan menyatakan jika semua insiden yang berlaku itu saling berkaitan. – Agensi