ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu menunjukkan hasil barang rampasan oleh pihak polis ketika serbuan kes pecah rumah yang dilakukan Geng Mirul Dog.

KUANTAN – Polis menahan dua ahli kumpulan pecah rumah, Mirul Dog, dalam operasi yang dilakukan sempena Tahun Baru Cina.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, selain itu pihaknya turut menahan seorang warga emas berusia 71 tahun pada Isnin lalu yang berperanan sebagai pembeli barangan hasil curi daripada kedua-dua supek yang berusia 32 tahun.

Katanya, dua ahli kumpulan itu yang bekerja sebagai buruh binaan ditahan di sebuah rumah di Balok, di sini, dalam serbuan yang dilakukan pada 27 Januari lalu.

Tambah beliau, dengan penangkapan itu polis berjaya menyelesaikan lapan kes pecah rumah di Kampung Pandan, Air Putih, Indera Mahkota dan Beserah melibatkan kerugian dianggarkan RM100,000.

“Warga emas berkenaan merupakan peniaga dan berasal dari Kuantan, bagaimana pun tiada rekod jenayah lampau dan telah dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan,” katanya pada sidang media sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Menurut Wan Mohd Zahari, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek aktif melakukan jenayah pecah rumah sejak Oktober tahun lalu dengan mengumpil pintu rumah yang tidak berpenghuni pada siang hari.

Jelasnya, polis turut merampas kereta Proton Waja, peralatan pecah rumah, telefon bimbit, komputer riba, jam tangan dan barangan perhiasan wanita.

Katanya kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan narkotik dan ujian saringan urin mendapati mereka positif dadah.

Tambahnya, kedua-dua suspek direman hingga 3 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Wan Zahari berkata, polis Kuantan mengeluarkan sebanyak 1,115 saman atas pelbagai kesalahan dalam tempoh 10 hari Op Selamat bermula 18 januari lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 226 kompaun dikeluarkan kerana memandu melebihi had laju. – MalaysiaGazette