Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Selepas melalui masa yang sukar disebabkan pandemik, industri perhotelan melihat sinaran harapan dengan tempahan yang memuncak semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Nanyang Siang Pau melaporkan, tempahan pada tiga hari pertama Tahun Baharu Cina hampir penuh dengan kesukaran mendapatkan bilik hotel terutamanya di utara Semenanjung.

Walaupun permintaan di Lembah Klang tidak sehebat di utara Semenanjung, tetapi keadaannya turut menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang memberangsangkan.

Presiden Persatuan Hotel Malaysia, Christina Toh berkata,  kadar penginapan yang tinggi semasa perayaan Tahun Baharu Cina menunjukkan industri perhotelan sedang menghala ke arah pemulihan.

Katanya, walaupun kadar penginapan masih tidak setanding masa sebelum pandemik, tetapi keadaannya adalah sangat optimis.

“Penginapan di selatan Semenanjung penuh pada tiga hari pertama manakala penginapan di utara Semenanjung penuh selama empat hari.

“Walaupun kami masih memerlukan masa untuk pulih ke tahap sebelum berlaku pandemik, tetapi kami optimis dengan keadaan semasa,” katanya.

Christina berkata, pemulihan dipercayai akan bertambah rancak dengan meningkatnya kekerapan penerbangan antarabangsa ke Malaysia.

Kebanyakan ahli Persatuan Hotel Malaysia adakah hotel yang mempunyai tiga bintang ke atas.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Bajet Dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Sri Ganesh Michiel berkata, tempahan untuk hotel bajet di bawah tiga bintang juga menunjukkan keadaan penuh.

Katanya, di sesetengah bandar sederhana, kadar penginapan telah mencapai 70 peratus dua hari sebelum perayaan Tahun Baharu Cina

Beliau berkata, kadar penginapan melonjak disebabkan ramai yang balik kampung semasa musim perayaan selain aktiviti pelancongan domestik.

“Keadaannya belum pulih ke tahap sebelum pandemik, tetapi ini merupakan satu permulaan yang baik,” katanya. – MalaysiaGazette