SUBANG JAYA – Program Menu Rahmah yang bermula semalam ternyata menerima sambutan baik dalam kalangan rakyat khususnya golongan B40.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, orang ramai yang terdiri daripada pelbagai latar belakang mula membeli makanan tengah hari yang berharga hanya RM5 seawal jam 12 tengah hari.
Penjawat awam, Aqief Mohd Faisal, 29, berkata, jika sebelum ini beliau terpaksa berbelanja sehingga RM15 untuk makan tengah hari kini berpeluang untuk menyimpan lebih dengan adanya Menu Rahmah.
Ujar beliau, program berkenaan jelas membantu golongan B40 khususnya yang tinggal di kawasan bandar untuk menanggung kos sara hidup setiap hari.
“Sebelum ini nak makan tengah hari saya kena ada RM10 hingga RM15 tapi sekarang dengan kurang RM6 saya sudah dapat makan tengah hari yang cukup dengan lengkap.
“Kalau untuk kawasan di Subang Jaya yang kos sara hidup tinggi patut, perbanyakkan di kawasan urban. Itu lebih baik. Kalau setiap hari dapat makan tengah hari kurang RM7 lebih baik lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Demi membantu golongan B40, Aqief yakin kerajaan boleh mencari pelbagai lagi solusi lain untuk dilaksanakan kelak.
“Kerajaan boleh cari skop lain untuk bantu golongan macam saya,” tambahnya.
Menerima positif pelaksanaan program tersebut, penyelia kilang yang mahu dikenali sebagai Oon pula menyifatkan harga yang ditetapkan sangat sesuai.
“Program ini sangat bagus sebab tolong B40 berjimat. Rancangan ini amat sesuai di kawasan-kawasan banyak tempat kerja tolong yang ada kekangan kewangan. Terutama kawasan perindustrian kami pekerja kilang dapat makan Menu Rahmah hari-hari. Harga RM5 harga yang sesuai,” tambahnya.
Sementara itu, Fuziah Mail, 50, juga memuji kesediaan restoran-restoran yang sanggup menyediakan Menu Rahmah dengan harga RM5.
Katanya, selain murah beliau turut memuji menu yang disediakan tidak kurang enak seperti juada biasa yang lain.
Fuziah berharap, lebih banyak lagi restoran yang menyambut saranan kerajaan ini.
“Sangat memuaskan dengan bajet RM5.00 kalau boleh semua restoran letak harga yang sama untuk menu ini berpatutan makanan pun sedap.
“Alhamdulillah. Saya dah cuba semalam memang puas hati dengan menunya sedap,” katanya lagi.
Senada dengan ibunya, pekerja swasta Nur Shaybanie Nurazman, 31, berkata, Program Menu Rahmah sinonim dengan cara hidupnya yang perlu berjimat.
Ujarnya, banyak penjimatan untuknya yang baru mendirikan rumah tangga apabila makan di luar selepas ini khususnya dalam waktu bekerja.
“Alhamdulillah bila kerajaan sediakan menu begini sedikit sebanyak membantu golongan yang kurang berkemampuan ataupun yang datang dari jauh dapat tengok juadah sebegini sebelum ini tapi tidak mampu beli. Banyak membantu, syukur,” katanya.
Untuk rekod, hampir 15,000 premis makanan di seluruh menyediakan Menu Rahmah mengikuti saranan kerajaan demi membantu golongan yang kurang berkemampuan.
Restoran yang terlibat dalam program itu ialah ahli daripada tujuh persatuan antaranya Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS) serta Persatuan Pengusaha Tomyam Malaysia.
Pelaksanaan program juga membabitkan ahli Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura (MSCSPGA), Persatuan Peruncit Bumiputra Malaysia (BRO), Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia (MRCA) dan Persatuan Peruncit Malaysia (MRA). -MalaysiaGazette