KUALA LUMPUR – Perbadanan Produktivii Malaysia (MPC) dan College University of Yayasan Pahang (UCYP) menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bagi mempergiat usaha dalam meningkatkan produktiviti dan daya saing negeri.
Fokus MOU berdasarkan teras Pelan Induk Produktiviti Malaysia (MPB) iaitu bakat, teknologi, peraturan dan minda produktif.
Menurut Ketua Pengarah MPC YBhg. DatukAbdul Latif Abu Seman, kolaborasi berkenaan tertumpu kepada usaha peningkatan produktiviti di sektor perladangan dan pelancongan sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri di enam daerah iaitu Bera, Jerantut, Bentong, Cameron Highlands, Raub dan Lipis.
“Objektif utama kerjasama ini adalah meningkatkan pelaburan dan pembangunan ekonomi termasuk pembangunan modal insan melibatkan termasuk masyarakat tempatan dan Orang Asli.
“Antara cadangan program yang dikenalpasti adalah program Academy in Plantation (AiP) yang menyasarkan penglibatan remaja tercicir dari pembelajaran arus perdana untuk diserap ke dalam akademi perladangan terutamanya di kawasan Pahang Barat Plus.
”Tujuan program adalah untuk meningkatkan kemahiran dan bakat di kalangan belia di mana melalui pelaksanaan program tersebut, dapat melonjakkan produktiviti sektor pertanian,” katanya dalam kenyataan di sini.
MoU disempurnakan oleh Abdul Latif dan UCYP diwakili Professor Emeritus Datuk Dr. Ahmad Zainuddin.
Selain daripada itu, pihak MPC melalui Nexus Pelancongan akan menjalankan ujikaji peraturan bagi sub-sektor pelancongan bagi mengenalpasti potensi tempat pelancongan yang boleh diketengahkan.
Usahasama di antara pihak MPC melalui Nexus Pelancongan dan UCYP akan dapat merancakkan lagi aktiviti mempromosi tempat-tempat menarik dan unik bagi meningkatkan lagi eko-pelancongan yang secara tidak langsung dapat menjana pendapatan dan meningkatkan ekonomi negeri Pahang. – MalaysiaGazette