Wan Salim.

GEORGE TOWN – Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak salah melantik Nuzul Izzah sebagai Penasihat Ekonomi dan Kewangan sekiranya beliau berkelayakan dan berintergriti.

Malah, jelas beliau, kesediaan Nurul Izzah menerima jawatan itu tanpa mengambil sebarang gaji atau alaun adalah tindakan sungguh mulia dan terpuji.

“Saya tidak mahu nemuji Nurul Izzah secara berlebih-lebihan. Saya sedar beliau hanyalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada kelemahan dan kekurangan.

“Saya juga tidak mahu samakan beliau dengan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang terkenal dengan sifat zuhud dan waraknya tetapi setahu saya, Nurul Izzah bukanlah seorang yang gila harta atau suka akan kemewahan.

“Kta juga perlu mengambil kira pengalaman beliau sebagai wakil rakyat selama beberapa penggal selain pernah menganggotai Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Wan Salim, sebagai seorang agamawan beliau cenderung melihat isu tersebut daripada perspektif Islam.

Jelas beliau, dari perspektif Islam ia ibarat mengikut jejak langkah orang soleh yang mendapat hidayah Allah sepertimana tertulis dalam al-Quran.

“Kadang-kadang saya pelik apabila melihat  sebahagian masyarakat memprotes seseorang berkhidmat untuk negara secara percuma dan menerima mereka yang memperoleh habuan tampa menyumbang sebarang perkhidmatan.

“Bagi saya sikap sedemikian menunjukkan kepada kehilangan pertimbangan akal yang waras. Keadaan ini boleh disamakan dengan kisah umat Nabi Luth A.S yang mengusir golongan beriman daripada kampung halaman mereka dengan alasan golongan tersebut adalah orang-orang yang menyuci diri daripada kejahatan.

“Sepatutnya sebagai warganegara Malaysia, kita perlu berbangga dengan individu yang sanggup berkhidmat untuk negara dan rakyat secara sukarela tanpa menuntut apa-apa ganjaran,” kata Wan Salim. – MalaysiaGazette