KUALA LUMPUR – Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengkritik pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri yang juga bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
IDEAS berkata, tindakan tersebut akan menjadi tanda aras yang tidak elok pada masa hadapan terutamanya dalam membuat keputusan dasar awam sesebuah pentadbiran.
Katanya, banyak persoalan dikemukakan sama ada Naib Presiden PKR itu dilantik kerana beliau adalah anak kepada Anwar.
“Hakikatnya Nurul Izzah sangat kompeten dan layak apatah lagi mengambil kira pengalamannya sebagai Ahli Parlimen selama tiga penggal dan memiliki ijazah sarjana dasar awam dari universiti luar negara ternama. Tetapi lantikan ini tidak produktif.
“Timbul persoalan berkaitan nepotisme, konflik kepentingan dan malah terhadap keputusan dasar awam yang akan dibuat oleh pentadbiran kelak yang kemudian boleh menjejaskan reputasi kerajaan.
“IDEAS hargai pengalamannya serta pendedahan bahawa beliau tidak menerima apa-apa gaji dengan jawatan itu namun cara lantikan itu tetap membawa kepada persoalan nepotisme,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Anwar yang mempertahankan pelantikan anaknya itu berkata, Nurul Izzah bukan sahaja memiliki ijazah pertama bidang kejuruteraan tetapi ijazah kedua dalam dasar awam merangkumi ekonomi, politik dan sosial dari Johns Hopkins School of Advanced International Studies, sebuah universiti di Amerika Syarikat.
Dalam pada itu, IDEAS turut menggesa kerajaan supaya menepati janji dalam mengamalkan urus tadbir yang baik, selari dengan prinsip yang diperjuangkan mereka sebelum ini.
“Kita harap walaupun ia bermasalah, pelantikan ini akhirnya adalah untuk kepentingan rakyat dan Nurul Izzah akan bekerja bersama kementerian yang berkaitan untuk mencapai reformasi yang sangat diperlukan negara termasuklah tangani isu struktur ekonomi yang sekian lama,” ujarnya. – MalaysiaGazette