Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pemilihan UMNO di seluruh negara akan bermula hari ini dengan memlilih Jawatankuasa, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri peringkat cawangan.

Pemilihan berkenaan membabitkan 22,000 cawangan di 191 bahagian di seluruh negara yang akan berlangsung selama 26 hari iaitu sehingga 26 Februari ini.

Seusai pemilihan di cawangan, parti itu akan mengadakan pemilihan EXCO Wanita, EXCO Pergerakan Pemuda dan EXCO Pergerakan Puteri UMNO Pusat yang diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac depan.

Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac.

Tarikh pendaftaran bagi calon-calon untuk pertandingan di Bahagian dan Pusat bermula pada 13 Februari dan ditutup pada 26 Februari 2023 pukul 5.00 petang.

Sebelum ini UMNO mendapat kebenaran daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk menangguhkan pemilihan parti itu selama enam bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

Persetujuan itu diberikan pada 29 Julai tahun lalu selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 pada Mac 2022 bersetuju pemilihan parti ditangguhkan selama enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

UMNO membuat keputusan berkenaan kerana bimbang sekiranya pemilihan parti diadakan sebelum PRU kerana sejarah menunjukkan bahawa setiap kali pemilihan berlaku perpecahan.

“Apa yang kita takutkan ialah menghadapi pilihan raya selepas pemilihan parti diadakan kerana sejarah menunjukkan bahawa setiap kali ada pemilihan parti, perpecahan memang berlaku. Kita jangan menidakkan ini.

“Kita tidak mahu parti yang sudah berada dalam keadaan baik ini bergeseran antara satu sama lain,” kata Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan ketika berucap pada penggulungan perbahasan PAU 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Pemilihan kali ini kemungkinan besar dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan.

Ini selaras dengan usul tambahan pada PAU2023 yang berlangsung baru-baru  agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingan. Usul itu mendapat sokongan majoriti perwakilan.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan bersama tiga individu dilaporkan telah memberi penjelasan kepada Pengarah RoS Mohd. Nawardi Saad berhubung usul tambahan itu.

Kesemua pemimpin UMNO bersama-sama peguam bertemu Mohd. Nawardi dan timbalannya di ibu pejabat agensi itu semalam dan menunggu jawapan daripada RoS.

Justeru kemungkinan jawatan tertinggi yang akan dipertandingkan adalah Naib Presiden yang kini disandang oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Khabarnya sembilan pemimpin UMNO berhasrat untuk merebut jawatan Naib Presiden berkenaan.

Beberapa pemimpin seperti Ahli MKT UMNO Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Ketua Bahagian UMNO Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said juga menyatakan hasrat untuk bertanding.

Turut akan mendapat perhatian adalah persaingan merebut jawatan ketua-ketua sayap iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri.

Pemilihan kali ini akan menyaksikan beberapa pemimpin utama parti itu tidak dapat bertanding kerana telah dipecat dan digantung keahlian.

Ini termasuk Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Tan Sri Noh Omar, Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan.

Biarpun UMNO tewas teruk pada PRU15 namun pemilihan kali ini  masih menjadi tumpuan.

Mereka yang diangkat sebagai pemimpin baharu tentunya mempunyai tugas berat untuk memastikan survival UMNO yang kini berhadapan dengan gelombangan ganas penolakan pengundi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast