SETIAP Perdana Menteri yang dilantik pasti ada hala tuju yang hendak diketengahkan di bawah pentadbiran kerajaan yang ditadbirnya. Slogan ‘Kerajaan Prihatin’ dibawa oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri ke-8 kerajaan pimpinannya telah melaksanakan tugas dangan baik dan ramai mengakuinya berdasarkan kepada usaha yang telah dilakukannya dalam memerangi pandemik Covid-19. Manakala, Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui kepimpinannya telah membawa Konsep Keluarga Malaysia kerana institusi keluarga sentiasa berperanan memelihara agama, melindungi keselamatan, menjaga maruah dan memastikan nasib setiap ahli keluarga terbela.
Terkini, Konsep Madani telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Januari 2023 yang lalu. Konsep ini disambut baik oleh rakyat kerana Madani menjadi kerangka dasar bagi memartabatkan semula negara sebagai sebuah negara makmur dan dihormati. Terdapat enam tonggak konsep ini iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, nilai hormAt, keyakiNan serta Ihsan di mana memegang maksud Madani secara menyeluruh, sekali gus bakal memeta hala tuju Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera. Madani bermaksud maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan dirujuk kepada terjemahan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) manakala Madani dalam istilah Arab membawa maksud ‘bertamadun’. Madani sendiri sebenarnya berasal daripada deen yang bermaksud agama, iaitu menggambarkan kehidupan beragama. Juga boleh difahami sebagai sebuah struktur masyarakat yang membangun dan bertamadun bertitik-tolak dari prinsip-prinsip kehidupan beragama (Deen).
Kedua-dua istilah “tamadun” dan “peradaban” ini bukanlah kata asal bahasa Melayu, ianya adalah pinjaman perkataan Arab. Perkataan peradaban sendiri dalam korpus penulisan berbahasa Melayu, bermaksud budaya yang berpegang kepada ketinggian nilai dan kehalusan budi yang dicerminkan dalam adat resam dan tradisi bangsa Melayu dan bangsa lain sejak zaman berzaman. Peradaban sesebuah negara itu dipacu oleh masyarakat yang bertamadun dalam semua segi dan tentunya pendidikan merupakan salah satu kunci utama.
Konsep Madani ini seiring dengan tujuh teras utama pendidikan negara. Bagi membangunkan kualiti individu sekaligus masyarakat khususnya dalam sistem sosial masyarakat Madani, ianya haruslah berakar-umbi melalui jalur pendidikan. Pendidikan telah terbukti merupakan kaedah paling efektif dalam merangka, menganalisa dan mempengaruhi pola pemikiran individu dan masyarakat untuk kesiapsiagaan masa depan.
Oleh yang demikian, konsep ini perlu diperhalusi dan diterapkan dalam setiap cara pengajaran dan kaedah pembelajaran melalui pendidikan Islam. Pendidikan Islam bersifat universal dan didasari nilai-nilai luhur dan relevan untuk setiap peringkat pendidikan. Pendidikan Islam bukan sekadar “transfer of knowledge” akan tetapi lebih merupakan suatu sistem yang ditata di atas teras keimanan, moral dan kesolehan yakni sistem yang berkait langsung dengan Tuhan. Pada hakikatnya, kesinambungan antara pendidikan Islam dan masyarakat Madani bukanlah kebetulan semata-mata. Kedua-dua adalah bersinergi antara satu sama lain dalam melahirkan insan yang kamil.
Sistem Pendidikan kita hendaklah diterapkan juga ilmu akhlak yang menjadi semakin pudar di era globalisasi ini. Sifat hormat menghormati sesama insan tidak kira agama, bangsa dan budaya hendaklah diterapkan dalam pelbagai peringkat daripada sekolah tadika sehingga universiti. Bahasa yang dipakai terutamanya semasa di media sosial hendaklah dijaga bagi mengelakkan budaya sindir menyindir yang merosakkan keharmonian sesebuah negara. Kerajaan perlu lebih ke hadapan dalam membantu masyarakat supaya lebih saling sayang menyayangi, hormat menghormati dan saling bekerjasama dalam pelbagai pihak. Sikap adil perlu diberi kepada setiap negeri bagi menambahkan keharmonian dan kestabilan negara. Sikap mencari salah orang hendaklah dibuang jauh, malah kerajaan hendaklah memandang ke hadapan bagi memajukan negara dalam keseimbangan dunia dan akhirat.
Masyarakat Madani hendaklah bermula dalam diri kita sendiri, keluarga, sekolah, masyarakat serta negara. Pastikan maklumat yang kita kongsi di platform media sosial memberi impak yang positif kepada masyarakat. Para ilmuan dan professional perlu tampil kehadapan dalam memberikan idea dan cadangan yang bernas demi memajukan negara bukan sahaja bersifat duniawi semata-mata tetapi kita perlukan keseimbangan dunia dan akhirat. Budaya rasuah serta ketidakjujuran perlulah dibendung supaya negara dapat berdaya saing dan bergerak lebih maju tanpa penindasan daripada pihak-pihak tertentu.
Manusia adalah khalifah di muka bumi ini yang bermaksud manusia sebagai wakil atau pemimpin di bumi. Maka tugas kita amat berat dalam mentadbir bumi. Ia bukan sahaja tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi keseluruhan masyarakat dalam membentuk negara yang diredhai oleh Allah SWT.
Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Masing-masing kalian adalah pemimpin, dan ia akan dimintai pertanggungjawaban tentang orang yang dipimpinnya. Penguasa adalah pemimpin bagi manusia, dan ia akan diminta pertanggungjawaban tentang mereka. Seorang laki-laki adalah pemimpin bagi keluarganya dan dia akan diminta pertanggungjawaban tentang mereka. Wanita adalah pemimpin bagi rumah suaminya dan anaknya, dan dia akan diminta pertanggungjawaban tentang mereka. Seorang budak adalah pemimpin terhadap harta tuannya, dan dia akan diminta pertanggungjawaban tentang harta yang diurusnya. Ingatlah, masing-masing kalian adalah pemimpin dan masing-masing kalian akan diminta pertanggungjawaban tentang kepemimpinannya.” (HR. Bukhari)
Sebagai penutup wacana, masyarakat madani bukanlah slogan rhetorik semata, malahan merupakan sebuah keniscayaan suatu bangsa. Masyarakat bertamadun didasari dengan ketinggian moral, berakhlak mulia, kaya dengan sikap toleransi, penuh semangat patriotik, justeru mengutamakan kualiti baik dalam bidang ilmu mahupun teknologi. Jelaslah bahawa kualiti masyarakat sedemikian tidak akan pernah terwujud tanpa adanya pendidikan yang bersumber kepada agama dengan tuntunan al-Qur’an dan hadits. Pendidikan Islam hakikatnya merupakan salah satu gerbang besar terbukanya konsep masyarakat madani dalam masyarakat. Oleh hal demikian, dapatlah disimpulkan bahawa penekanan, keutuhan dan pemurnian pendidikan Islam dalam mendukung tonggak MADANI adalah secara signifikan dapat berdaya-guna dan berhasil-guna dalam membangun masyarakat yang bertamadun dalam pelbagai bidang.
Oleh: Dr Nadiawati binti Abdul Razak
Pensyarah Perubatan,
Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan,
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Prof Madya Dr Aspalilah
Pensyarah Pergigian,
Universiti Sains Islam Malaysia