BUTTERWORTH – Sebanyak 1,907 naskah al-Quran dan 2,060 bahan cetak mengandungi sebahagian ayat daripada kitab suci dirampas menerusi Ops Mulia di negeri ini dan Selangor pada Januari lalu.
Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Nik Yusaimi Yussof berkata, kesemua bahan cetak bernilai RM160,000 itu dirampas kerana tidak mendapat kelulusan Lembaga Pengawalan dan Perlesenan al-Quran (LPPPQ).
Jelas beliau, bertindak atas maklumat dan risikan sejak Oktober lalu, pihak KDN Pulau Pinang menyerbu sebuah unit pangsapuri di Taman Alma, Bukit Mertajam sebelum menahan seorang lelaki tempatan berusia 40-an yang dipercayai penjual bahan itu.
Kata Nik Yusaimi, hasil semakan mendapati kediaman itu dijadikan stor untuk menyimpan bahan kitab suci tersebut yang dibawa masuk dari Indonesia.
“Semakan mendapati aktiviti pengedaran dan penjualan al-Quran dan bahan agama itu dilakukan sejak 2022 selain ia menjadi sumber pendapatan utama.
“Al-Quran itu dibawa masuk untuk dijual secara dalam talian namun ada juga sebahagiannya dipasarkan di beberapa kedai buku seluruh negara,” katanya pada sidang media di Wisma Pantai di sini, hari ini.
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 8 (1) Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 dan 4,024 unit bahan al-Quran atas kesalahan di bawah Seksyen 14 (1) akta sama.
Mengulas lanjut Nik Yusaimi berkata, al-Quran yang dirampas itu dibimbangi kandungannya menyalahi sama ada dari segi ayat, baris dan boleh menyebabkan umat Islam salah membaca dan lari maksud.
“Al-Quran ini ada kandungannya yang turut dieja dalam tulisan rumi, Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini sudah mengharamkan sebarang ejaan ayat suci al-Quran dalam tulisan rumi.
“Pihak kami dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut mendapati al-Quran yang dirampas itu tidak mengikut resam Uthmani yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, Nik Yusaimi menasihati masyarakat berhati-hati dengan hanya menjual, membeli, memiliki dan membaca al-Quran diperakui LPPPQ yang mempunyai hologram KDN. – MalaysiaGazette