Timbalan Pendakwaraya, Datuk Seri Gopal Sri Ram bercakap pada sidang media berkaitan keputusan yang membabitkan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar 369 sekolah luar bandar Sarawak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KEMATIAN Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram mencetuskan pelbagai  persoalan mengenai bagaimana perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak akan berjalan selepas ini.

Persoalan ini menjadi pertanyaan kerana mendiang telah mengetuai kes berkenaan sejak kes itu bermula pada 2018.

Persoalan sama turut ditimbulkan dalam kes rasuah berkait projek hibrid solar untuk sekolah luar bandar di Sarawak membabitkan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Sri Ram yang merupakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan mengendalikan keseluruhan kes 1MDB dan kes rasuah projek hibrid solar.

Sesiapa yang mengikuti perbicaraan 1MDB pastinya mengetahui hanya mendiang yang  ‘mampu’ melemparkan soalan bernas terhadap saksi yang memberi keterangan.

Kebanyakkan masa, jika Sri Ram tidak dapat hadir ke prosiding 1MDB, para pendakwa raya lain tidak akan menyoal balas saksi terutamanya saksi utama sebaliknya sesi soal balas akan ‘reserved’ supaya saksi itu boleh disoal oleh beliau di hari lain.

Hal ini kerana, Sri Ram yang berpengalaman luas dalam hal-hal perundangan jenayah mampu mengendalikan saksi itu dengan cekap.

Bagaimanapun, kematian Sri Ram memberi cukup impak kepada pihak pendakwaan kerana mereka hilang ‘tulang belakang’ mereka.

MalaysiaGazette ketika meminta pandangan peguam veteran Mohamed Haniff Khatri Abdulla berhubung ‘kehilangan’ ketua kes 1MDB berkata, hanya Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun boleh membuat keputusan sama ada mahu menggantikan seseorang peguam swasta atau meneruskan kes itu dengan pasukan pendakwaan yang sama.

“Pelantikan mendiang Sri Ram dibuat oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas pada 2018 kerana beliau percaya Sri Ram dapat mengendalikan kes itu dengan baik. Tetapi ia tidak bermaksud, kakitangan Jabatan Peguam Negara tidak berkompeten.

“Tommy sendiri kena menjawab kenapa beliau tidak melantik kakitangan Jabatan Peguam Negara untuk mengendalikan kes 1MDB ketika itu. Baru-baru ini, Tan Sri Idrus mengatakan kes itu akan terus dikendalikan pasukan pendakwaan yang sama. Bagi saya, biar kes itu diteruskan berbanding melantik seseorang peguam swasta.

“Kita kena faham, walaupun mendiang Sri Ram mengetuai pasukan itu tetapi pada masa sama jangan lupa bahawa beliau disokong dan dibantu oleh pasukan Peguam Negara yang berkebolehan dan berpengetahuan. Mereka lebih berkebolehan dalam meneruskan kes itu,” kata peguam veteran itu.

Pada Ogos 2018, Tommy dalam satu kenyataan berkata, Sri Ram yang dilantik mengikut budi bicaranya di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) bersetuju memberikan khidmatnya secara ‘pro-bono’ (percuma) dalam kes ini.

Difahamkan jika tiada pengganti (ketua) dilantik dalam masa terdekat, kes-kes 1MDB yang sedang didengar Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Hakim Mohamed Zaini Mazlan akan terus dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib dan pasukannya.

Untuk makluman, Ahmad Akram merupakan salah seorang TPR yang mengendalikan kes-kes 1MDB sejak kes berkenaan bermula pada 2018.

Sementara itu, seorang pakar undang-undang yang enggan mahu dikenali berkata, kemungkinan besar peguam negara baharu akan dilantik pada Mac ini dan beliau pula berkira-kira untuk melantik seorang peguam swasta berkaliber bagi mengendalikan kes 1MDB.

Media sebelum ini melaporkan bahawa tiga hakim sedang berkhidmat dikatakan dipertimbangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai peguam negara baharu.

Mereka ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, selain dua Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Yaacob Md Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Idrus dilantik sebagai Peguam Negara untuk tempoh setahun berkuat kuasa 6 Mac 2022 dan akan berakhir pada 6 Mac 2023. -MalaysiaGazette