Foto Anwar berbual dengan Ahmad Zahid yang dikongsi oleh warganet di media sosial.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diberi peluang membela diri atas pertuduhan rasuah yang sedang dihadapinya ketika ini.

Kata Anwar dalam satu temuramah dengan Bloomberg kelmarin, Ahmad Zahid sebenarnya sedang menjalani perbicaraan dan biarlah mahkamah sahaja menentukan kedudukan beliau dalam 47 pertuduhan rasuah berkaitan dana Yayasakan Akalbudi itu.

Jelas beliau, proses mahkamah adalah bebas dan beliau tidak terfikir untuk sesekali menghakimi kes itu.

“Proses mahkamah mestilah bebas dan beliau mesti diberi peluang, keadilan untuk diadili oleh mahkamah yang bebas dan tidak berat sebelah.

“Kenapa perlu merujuk kepadanya secara peribadi sedangkan saya telah mengatakan bahawa sistem itu korup. Ramai lagi pemimpin politik lain yang telah menyalahgunakan kedudukan mereka. Bekas perdana menteri, bekas menteri kewangan, sebanyak ratusan dan berjuta-juta dolar,” katanya.

Sambung beliau lagi, sejak awal lagi beliau sudah memberikan mesej yang jelas bahawa tidak ada lagi rasuah, tiada lagi rundingan terus, tiada lagi penyalahgunaan kuasa dalam pentadbiran beliau.

“Saya perlu kekal konsisten selama beberapa hari, minggu, bulan dan tahun. Saya pasti rakyat akan memutuskan bukan sahaja memihak kepada kita, tetapi memihak kepada naratif baharu, dasar baharu. Biar kita ‘move on’.

“Kita perlu bekerja untuk memastikan sistem tadbir urus yang baik dan sistem itu bebas daripada pemimpin yang korup.

“Saya perlu bersikap adil, semua sudah patuhi peraturan sekarang, tidak ada jejak daripada pasukan saya cuba melakukan pembaziran wang kontrak. Orang harus nilai saya sejak dua bulan ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, ketika disoal tentang risiko ‘kehilangan’ Ahmad Zahid berikutan kes rasuah beliau, Anwar tampil yakin dengan kekuatan kerajaan ditadbirnya kini.

“Kita sudah diuji di Parlimen tempoh hari dan kami perolehi majoriti dua pertiga yang lebih kuat.

“Saya tidak perlukan majoriti dua pertiga. Saya perlukan majoriti yang selesa atau kuat. Tidak ada tanda-tanda bahawa terdapat pergeseran dalam gabungan ini.

“Buat masa ini kerajaan stabil.  Itu sudah cukup bagus untuk Malaysia selepas tidak stabil selama 10 hingga 15 tahun yang lalu,” ujarnya.

Untuk makluman, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO sedang membela diri 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Kes itu yang kini berada di peringkat bela diri yang dijadualkan bersambung pada 10 April ini di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

3 Komen

  1. Betul ke secara bebas, asyik perbicaraan kena tunda sahaja. Siapa yang ikut sesiapa ini. Tertuduh ikut mahkamah ke mahkamah ikut tertuduh. Yang terbaru hendak minta pasport pula. Senang jadi JLow tidak payah pasport boleh juga ke luar negara.

  2. apa ANWARFIKUN AKAN BEBASKAN TERUS JLOW MAKAN2 ANGIN ????

    HEBATNYA JLOW…bila POLIS2 SERTA IMEGERESEN2 SELURUH DUNIA MASIH GAGAL GAGAL GAGAL untuk mengesannya….mungkin ini PENDERMA HALIMUNAN untuk DAPIGS/PKR / P akatan H aru

    jasa Murid pada GURUNYA

Comments are closed.