telur lompat parti
Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dilantik mengetuai portfolio Kementerian Komunikasi dan Digital selepas sesi Pemukiman Ahli-ahli Dewan Rakyat Perikatan Nasional (PN) 2023 yang berlangsung selama dua hari bermula Rabu lalu di ibu negara.

Wan Saiful yang juga Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, beliau akan memberi tumpuan mempertahankan kebebasan rakyat untuk bersuara.

“Tumpuan khusus akan saya berikan dalam mempertahankan kebebasan rakyat untuk bersuara kerana kerajaan sekarang kelihatan gemar mempergunakan undang-undang untuk menyekat suara rakyat, termasuk dalam media sosial.

“Pada masa yang sama, perkembangan industri seni dan juga ketersambungan (connectivity) di semua peringkat akan turut menjadi perhatian saya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pemukiman Ahli-ahli Dewan Rakyat Perikatan Nasional 2023 melantik 26 Ahli Parlimen PN mengetuai portfolio bagi meneliti, mengkaji dan menjuarai isu-isu membabitkan kementerian berkaitan.

Antara 26 Ahli Parlimen PN, seramai 13 daripadanya adalah dari Bersatu.

Selain Komunikasi dan Digital, Wan Saiful turut diberikan tanggungjawab untuk memegang portfolio Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Dalam Negeri.

“Melalui portfolio lain yang juga saya anggotai, terutama Ekonomi dan Kewangan, Insya Allah saya akan terus membawa suara dan rintihan rakyat ke peringkat paling tinggi.

“Kerajaan PH-BN ini terlalu sibuk membalas dendam politik dan mencari jalan untuk menekan kami dalam PN, sehingga mereka terus gagal menangani keluhan rakyat mengenai kenaikan kos sara hidup yang semakin mencengkam.

“Melalui portfolio-portfolio ini, sudah pasti Ahli-Ahli Parlimen PN akan memainkan peranan terbaik untuk memberi semak imbang kepada kerajaan PH-BN,” katanya.

Terdahulu, PN melancarkan senarai Kabinet bayangan atau Jawatankuasa Portfolio Ahli Dewan Rakyat gabungan itu.

Senarai itu dilancarkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaik selesai Pemukiman Ahli Dewan Rakyat PN di salah sebuah hotel, di sini, hari ini.

Berdasarkan senarai itu, Muhyiddin dilantik sebagai ketua, manakala Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengisi jawatan sebagai timbalan.

Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pula kekal sebagai Ketua Pembangkang. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Aduhai.. bayangan je la ye.. Tak leh nk sabar dah kot.. nk tunggu pru16.. lambat lagi tu. Ptptn dulu dh hapus ke?

Comments are closed.