Shaharon Anuar Abdul Latif

KUALA LUMPUR – Siapa yang tidak kenal dengan Datuk Shaharon Anuar Abdul Latif yang pernah membintangi drama bersiri Gerak Khas?

Beliau baharu bersara pada Ogos tahun lalu sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Kuala Lumpur setelah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) hampir 38 tahun.

Kini Shaharon yang terkenal dengan pelbagai kebolehan berjinak dengan dunia korporat apabila menyertai syarikat hartanah, Haji Land Berhad sebagai Pengarah Komunikasi Korporat di samping sebagai Penasihat Pelaburan Haji Land Berhad.

Bercakap dengan MalaysiaGazette, kata Shaharon, minatnya dalam bidang perniagaan sudah lama tercetus dan sentiasa berhasrat untuk menceburinya pada masa yang sesuai.

“Sebelum ini saya komited dengan kerjaya kepolisan sehingga bersara pada Ogos 2022. Tawaran diterima daripada Haji Land Berhad ini bertepatan dengan persaraan saya dengan harapan pada usia awal 60-an saya  masih kuat dan menyumbang kepada sesuatu.

“Bidang tugasan di Haji Land Berhad pula tidak asing bagi saya apatah lagi saya berpengalaman lebih kurang 13 tahun di Cawangan Perhubungan Awam PDRM Bukit Aman dahulu sangat berguna membantu saya melaksanakan tugasan ini.

“Cuma saya perlu memahami selok belok perniagaan hartanah dalam melaksanakan tugasan sebagai Penasihat Pelaburan, harapnya dengan jawatan ini saya mampu melakukannya kelak,” katanya.

Shaharon Anuar bersama peneraju utama Haji Land Berhad, Datuk Mohamad Azlan Al Amin

Dalam pada itu ketika ditanya mengapa memilih Haji Land Berhad yang ketika ini diterajui oleh Datuk Mohamad Azlan Al Amin, kata Shaharon dirinya cukup tertarik dengan perjalanan hidup jutawan hartanah itu yang satu ketika pernah bekerja sebagai pemungut sampah.

“Saya amat tertarik dengan kehidupan Datuk Azlan sejak kecil, satu perkara yang menarik perhatian ialah bidang hartanah yang beliau ceburi ternyata mampu memberi keuntungan. Jika beliau mampu melakukannya, begitulah juga dengan diri saya.

“Saya meneliti selok belok perniagaan hartanah Haji Land Berhad ini yang mana ianya dijalankan secara patuh syariah. Saya juga berharap Haji Land Berhad akan terus maju bukan sahaja beri manfaat kepada pelabur dan pembeli sebaliknya akan sentiasa memperjuangkan golongan tidak berkemampuan dalam program-program CSR mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamad Azlan turut melahirkan rasa teruja dan gembira dengan kehadiran seorang figura yang bukan sahaja terkenal sebaliknya mampu membawa hala tuju Haji Land kepada lebih ‘hebat’ kelak.

“Haji Land Berhad amat berharap dengan pelantikan Shaharon sebagai Pengarah Komunikasi serta Penasihat Pelaburan ini akan dapat menyumbang dan mengembangkan kepada kemajuan syarikat khasnya dalam dunia hartanah sebaliknya kebaikan kepada semua,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Saya salah seorang peminat Dato’ suatu ketika dulu.Tahniah diatas perlantikan di syarikat hartanah Haji Land Berhad.Semoga terus berjaya didalam bidang yang baru..Sokong 100%

Comments are closed.