GEORGE TOWN – Sebanyak 27 ladang babi komersial di negeri ini disahkan dijangkiti penyakit demam babi Afrika (ASF) setakat semalam.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, jangkitan terbaharu itu membabitkan tiga buah ladang di daerah Barat Daya.
Jelas beliau, jumlah keseluruhan populasi babi dijangkiti adalah 62,197 ekor di seluruh Pulau Pinang dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) telah melupuskan 11,943 ekor yang dijangkiti.
Berdasarkan bancian JPVPP tahun lalu, terdapat 124 ladang babi di Pulau Pinang dengan populasi keseluruhan sebanyak 267,348 ekor.
“Kerja-kerja pemusnahan masih giat dijalankan bagi mengekang penularan penyakit. Bangkai babi yang dilupuskan ditanam di satu di kawasan yang jauh dari penempatan awam dan tiada pembangunan bagi memastikan tidak berlaku kacau ganggu kepada orang awam,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Kon Yeow berkata, JPVPP telah menghantar permohonan pampasan bagi 10 ladang babi yang telah selesai proses pelupusan kepada Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar (IPPV), Putrajaya untuk tindakan lanjut.
Mengulas lanjut Kon Yeow berkata, orang awam agar tidak perlu cemas dengan isu penyakit ASF kerana ia bukan penyakit zoonotik selain hanya menjangkiti ternakan babi serta babi hutan.
“Namun penyakit ini merupakan penyakit yang berkepentingan ekonomi di mana ia sangat cepat merebak dan boleh menyebabkan 100 peratus kematian dalam tempoh dua hingga 10 hari kepada ternakan babi yang dijangkiti,” katanya. – MalaysiaGazette