GEORGE TOWN – Tindakan dua nelayan tempatan menangkap ikan tanpa miliki lesen membawa padah selepas mereka ditahan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang di kedudukan 2.6 batu nautika Pulau Rimau di sini semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, penahanan jam 4.30 petang itu dibuat ketika pihaknya melakukan rondaan OP PERTIWI.
“Hasil pemeriksaan, bot tanpa nombor pendaftaran itu dikendalikan oleh seorang tekong dan kru.
“Pemeriksaan juga mendapati masing-masing mereka yang berusia 33 dan 40 tahun itu gagal mengemukakan lesen bot,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah Abd Razak, mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana tidak memiliki lesen bot.
“Susulan itu, bot serta kru terbabit ditahan sebelum dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut. Turut dirampas dua kilogram hasil laut,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Abd Razak menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia. – MalaysiaGazette