Norena Jaafar

MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menasihati segelintir peniaga di negeri ini agar tidak menyalahgunakan maksud Program Menu Rahmah untuk mempromosi jualan mereka kepada golongan B40.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, langkah itu hanya akan menyebabkan usaha murni kerajaan  menyediakan makanan seimbang bertukar sebaliknya hanya kerana ‘kreativiti’ tak kena tempat segelintir peniaga.

“Definisi sebenar Menu Rahmah ini adalah makanan tengah hari atau malam yang seimbang merangkumi nasi, satu pilihan protein seperti ayam atau ikan dan sayuran yang ditawarkan pada harga RM5 sepinggan.

“Namun apa yang kita kesalkan, ada peniaga, contohnya gunakan nama Menu Rahmah hanya pada jajan atau minuman manis kerana harganya RM5 demi populariti sedangkan tersasar dari hasrat sebenar kerajaan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Norena berkata, setakat ini pihaknya hanya mengambil pendekatan mendidik dan menasihati peniaga berkenaan supaya tahu apakah maksud Menu Rahmah yang bukan hanya kerana harganya RM5.

“Hidangannya mestilah seimbang, ada sumber protein serta sihat dan bukannya sekadar mengenyangkan tapi mempunyai kandungan gula atau lemak yang tinggi.

“Kita harap, mereka tidak lagi keliru supaya apa yang dihasratkan Menteri KPDN Datuk Seri Salahuddin Ayub yang mencetuskan inisiatif ini bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat tercapai,” katanya.

Inisiatif Menu Rahmah dilancarkan Salahuddin di Subang Jaya, Selangor pada 31 Januari lalu yang menawarkan makanan siap masak pada harga harga RM5 dan susulan daripada libat urus industri yang dilaksanakan pada 26 Januari lalu.

Antara rakan strategik lain yang mengambil bahagian dalam Menu Rahmah adalah pasar raya Mydin, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia, Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia dan Persatuan Pengusaha Tomyam Malaysia. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast