Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir ke mahkamah bagi permohonannya mendapatkan pasport antarbangsa secara kekal di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membuat ketetapan menolak permohonan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memohon Mahkamah Tinggi mengembalikan pasport antarabangsanya secara kekal dan secepat mungkin.

Ahmad Zahid memohon bagi membolehkannya menjalankan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri dengan lancar.

Bagaimanapun Hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar kes di Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence membenarkan pasport antarabangsanya dipulangkan sementara waktu bagi membolehkan Ahmad Zahid membuat pasport diplomatik bagi tujuan tugasan rasmi dari masa ke semasa.

“Undang-undang adalah sama sahaja kepada mana-mana tertuduh yang sedang berhadapan prosiding mahkamah bagi kes sama tidak kira status mereka. Dengan ini, mahkamah menolak permohonan tertuduh memohon pasport antarabangsa yang sepatutnya diberikan kepada mahkamah sebagai syarat di pulangkan kembali secara kekal.

“Bagaimanapun mahkamah membenarkan pasport tertuduh dipulangkan sementara waktu bagi beliau membuat pasport diplomatik bagi tugasan rasmi ketika ini,” katanya ringkas pagi ini.

Untuk makluman, Ahmad Zahid telah menyerahkan pasport dan berada dalam simpanan mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas beliau didakwa dengan 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang kini dalam peringkat bela diri.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, beliau menerima mandat dan tanggungjawab utama daripada Perdana Menteri untuk mewakilkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam beberapa urusan pentadbiran negara.

Bagi melancarkan pergerakan dan urusan dalam menjalankan tugasan rasmi selaku Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid dikehendaki untuk berada di dalam dan luar negara yang memerlukan pasport itu berada dalam pegangan sendiri.

Ahmad Zahid menghadapi 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Bagi saja lah. Mudahkan dia jalankan tugas rasmi. Pasport zetti aziz muhyidin yasin tun m tak pulak kau simpan. Mereka bila bila masa boleh lari. Tak pakai akal ke?

Comments are closed.