KUALA LUMPUR – Sebuah syarikat penyedia perkhidmatan p-hailing bersedia untuk meneliti aduan pekerja penghantar makanan bermotosikal yang membantah pelaksanaan perluasan zon penghantaran dengan kadar pembayaran upah tidak setimpal yang mula dilaksanakan 30 Januari lalu.
Pengerusi e-Hailing Task Force, Byran Ng Yih Miin berkata, dalam pertemuan selama 90 minit dengan pengurusan syarikat itu, mereka memberi jaminan untuk mencari jalan penyelesaian menang-menang.
“Saya bersama empat wakil ‘rider’ telah serahkan petisyen kepada syarikat mengenai dua isu bergangkit iaitu pertamanya mengenai persempadanan zon yang diperluaskan akhir-akhir ini di Petaling Jaya, Kota Damansara dan Ara Damansara yang mengakibatkan ramai rider tidak berpuas hati kerana upah yang dibayar untuk mereka tidak setimpal dengan jarak penerimaan, pengambilan dan penghantaran makanan pelanggan.
“Mesyuarat tadi dengan Ketua Pegawai Operasi syarikat itu, Calvin Chan mendapati dia mengakui pihak syarikat tidak sedar akan kesulitan yang dihadapi para ‘rider’ akibat kesan pelaksanaan jarak zon penghantaran serta kadar upah yang didakwa tidak setimpal.
“Dalam perbincangan agak panjang itu, saya dari pihak ‘rider’ mengetengahkan cadangan agar suatu bayaran berbentuk insentif diberikan untuk setiap ‘rider’ yang sekurang-kurangnya menampung beban mereka,” katanya ketika ditemui di Pusat Perniagaan Southgate, di sini, hari ini.
Terdahulu Yih Miin yang juga Pengarah Strategik Pemuda PKR Pusat ersama 50 penghantar makanan bermotosikal menghantar memorandum bantahan pelaksanaan perluasan zon penghantaran yang dilaksanakan syarikat.
Menurut Yih Miin, pihaknya juga akan berhubung dengan syarikat p-hailing itu setiap minggu bagi memberikan maklum balas yang membolehkan saya mengetahui apa yang berlaku dan menambah baik perkhidmatan.
Sementara itu, wakil rider, Hazim Rahman, 20, mendakwa kadar upah yang diterima semakin semakin berkurangan sejak langkah pembesaran zon kawasan bekerja dilaksanakan syarikat tersebut.
“Masalah mula timbul apabila seseorang penghantar makanan itu perlu menghantar makanan ke sesebuah lokasi yang agak jauh menerusi perluasan zon penghantaran ini.
“Bayangkan makanan diambil di sebuah restoran di Petaling Jaya, dan perlu dihantar ke Pelabuhan Klang, bayaran yang diterima hanya sekitar RM7 ternyata sangat tidak adil.
“Kadar bayaran yang tak setimpal ini ditambah pula dengan jarak lokasi yang begitu jauh sekaligus memberikan kesan dari segi kos penyelenggaraan dan petrol kepada penghantar makanan itu,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, walaupun langkah pembesaran zon dilihat memanfaatkan dan menambah pendapatan penghantar makanan namun ia perlu selari dengan kadar upah yang diterima.
“Kami tidak kisah sekiranya perlu menghantar di lokasi yang jauh asalkan upah yang diterima berbaloi, pelbagai perkara kena ambil kira dari segi kos minyak, penyelenggaraan motosikal dan macam-macam lagi,” katanya.
Dalam pada itu, penghantar makanan, Zaim Bakar, 36, mendapati sukar untuk menerima upah sebanyak RM1,000 seminggu sejak kaedah terbaharu zon penghantaran berkuatkuasa.
“Ada dalam kalangan rider kami menjadikan kerjaya penghantar makanan sebagai pekerjaan tetap, jadi bila upah ditempias, memang ia sesuatu yang sangat membebankan kami yang mempunyai tanggungan keluarga ,” katanya. – MalaysiaGazette