Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka rendah pada minggu dagangan akan datang yang pendek berikutan sentimen pelabur diramal kekal tidak memberangsangkan buat masa ini disebabkan faktor luaran walaupun belian semasa harga rendah mungkin berlaku berikutan penilaian yang menarik.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, sehubungan itu, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka diniagakan tidak berubah dengan kecenderungan positif pada paras 1,485 hingga 1,500 pada minggu depan.

“Daripada perspektif teknikal, kami mengesan paras rintangan segera pada 1,500 dan sokongan pada 1,470,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata prospek jangka pendek FBM KLCI kekal positif di tengah-tengah pembukaan semula China dan kitaran meningkat kadar faedah yang hampir mencapai kemuncak.

Bagaimanapun indeks petunjuk pasaran itu dijangka bergerak dalam jajaran kecil dengan paras rintangan pada 1,500, 1,512 dan 1,528 manakala sokongan pada 1,451, 1,468 dan 1,479 menjelang cuti hujung minggu yang panjang.

Bursa Malaysia dan anak-anak syarikatnya akan ditutup pada Isnin berikutan cuti gantian Thaipusam dan menyambung semula dagangan pada Selasa.

Bagi asas mingguan, indeks utama merosot  7.08 mata kepada 1,490.47 pada Jumaat daripada 1,497.55 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 83.93 mata kepada 11,212.27, Indeks FBM ACE menokok 112.0 mata kepada 5,843.23 dan Indeks FBM 70 naik 125.15 mata kepada 13,884.99.

Indeks FBM Emas menguncup 7.01 mata kepada 10,886.35 dan Indeks FBMT 100 susut 16.02 mata kepada 10,547.89.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.98 mata kepada 191.75, Indeks Tenaga naik 25.35 mata kepada 906.11 dan Indeks Teknologi menokok 1.10 mata kepada 69.39.

Indeks Perladangan naik 86.01 mata kepada 6,927.24 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 155.37 mata kepada 16,314.82.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 18.10 bilion unit bernilai RM10.57 bilion berbanding 11.21 bilion unit bernilai RM6.12 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 12.44 bilion saham bernilai RM8.78 bilion daripada 7.23 bilion saham bernilai RM4.95 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran naik kepada 1.26 bilion unit bernilai RM217.46 juta daripada 951.90 juta unit bernilai RM130.73 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 4.39 bilion saham bernilai RM1.57 bilion daripada 3.02 bilion saham bernilai RM1.04 bilion minggu lepas. – BERNAMA