Gambar hiasan

IPOH – Cuaca di Cameron Highlands yang sejuk luar biasa pada ketika ini dan pengurangan jumlah penanam bunga telah menyebabkan berlaku kekurangan bekalan bunga segar di pasaran.

Sinchew Daily melaporkan, menjelang sambutan “Hari Kekasih” yang menyaksikan permintaan untuk bunga melonjak, bekalan ros dan tulip dari Cameron Highlands pula dilaporkan mengalami kekurangan sehingga perlu diimport dari luar negara.

Keadaan itu juga bermakna pengguna perlu membeli bunga import yang dijangkakan mahal berlipat ganda berbanding bunga tempatan.

Selain disebabkan cuaca tidak menentu di Cameron Highlands, ramai penanam bunga dilaporkan bertukar menanam sayur disebabkan pandemik yang menyebabkan permintaan berkurangan.

Apabila aktiviti ekonomi dibuka semula dan permintaan bunga meningkat, hasil dari Cameron Highlands pula tidak dapat menampung permintaan pasaran.

Presiden Persatuan Florikultura Cameron Highlands, Lee Peng Fo berkata,  angin monsun yang bertiup sehingga awal tahun dan hujan yang banyak menyebabkan hasil bunga menurun mendadak.

“Asyik berlaku hujan di Cameron Highlands pada masa ini dan sinaran matahari tidak mencukupi.

“Cuaca di sini juga sejuk iaitu berlegar antara 21 hingga 22 darjah celcius pada waktu siang, tetapi kadangkala menurun kepada 17 darjah Celsius. Suhu di tengah malam pula boleh menurun ke 14 darjah Celsius,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu adalah luar biasa kerana selalunya cuaca adalah panas pada Januari.

“Angin monsun melambatkan pertumbuhan bunga manakala kekurangan sinaran matahari mengurangkan jumlah bunga yang mekar,” katanya.

Beliau berkata, kekurangan bekalan tempatan mendorong pemborong bunga mengimport ros dan tulip dari China dan India.

Jelasnya, Cameron Highlands memang terkenal sebagai pengeluar ros pada 1980 dan 1990-an, tetap hasil pengeluaran telah menjunam sejak 10 tahun lalu.

“Keadaan pasaran ros adalah tidak menentu iaitu kadangkala tidak cukup tetapi berlaku lambakan pula apabila cuaca baik.

“Keadaan di Cameron Highlands adalah berlainan dengan China kerana negara itu boleh memenuhi keperluan pasaran tidak kira betapa banyaknya tempahan,” katanya .

Beliau berkata, pada masa ini masih berlaku kekurangan bekalan ros sebanyak 50 peratus di Malaysia.

Katanya, disebabkan hari kekasih, seluruh dunia sedang berebut untuk membeli bunga ros dan menyebabkan harga bunga itu melambung.

“Harga yang tinggi juga menyebabkan negara barat memperomosikan bunga matahari dan bunga anthurium sebagai alternatif.

“Walau bagaimanapun, dua jenis bunga ini masih tidak popular sebagai hadiah di negara-negara Asia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast