gempa bumi turkiye
Situasi di lokasi gempa bumi yang melanda beberapa wilayah di Turkiye hari ini. (Gambar: Media sosial)

KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya 76 mangsa dilaporkan terkorban dan 440 orang lagi cedera setakat ini dalam kejadian gempa bumi dengan magnitud 7.4 skala Richter di beberapa wilayah di selatan Turkiye hari ini.

Anadolu Agency melalui Twitter melaporkan, maklumat itu disahkan oleh Kementerian Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD).

Gempa bumi yang berpusat di Kahramanmaras itu berlaku pada pukul 4.17 pagi (waktu tempatan) dan pada kedalaman tujuh kilometer.

Media rasmi Syria turut melaporkan sekurang-kurangnya 42 mangsa maut dalam gempa bumi yang turut berlaku di negara itu.

Sekurang-kurangnya enam mangsa terbunuh, 79 lagi cedera manakala enam bangunan musnah di Diyarbakir manakala di Malatya, sekurang-kurangnya 23 mangsa terkorban, 420 orang cedera dan 140 bangunan musnah.

Di Sanliurfa, seramai 15 mangsa dilaporkan maut dan 30 orang lagi cedera manakala di Osmaniye, lima mangsa terkorban dan 34 bangunan musnah.

Gegaran akibat gempa bumi di kawasan selatan Turkiye turut dialami di negara-negara jiran seperti Lebanon, Syria, Mesir dan Georgia.

Sementara itu, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan melalui hantaran Facebook berkata, pasukan mencari dan menyelamat telah dikerahkan ke lokasi-lokasi yang dilanda gempa bumi.

Menurut beliau, Kementerian Dalam Negeri Turkiye, Kementerian Kesihatan Turkiye, AFAD, gabenor-gabenor wilayah dan semua agensi lain telah memulakan operasi dengan segera.

“Kami berharap akan dapat pulih daripada bencana yang dialami dengan secepat mungkin,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast