Keadaan sebuah kediaman yang terjejas teruk akibat gempa bumi kuat yang melanda tenggara Turki. foto Twitter

ANKARA – Angka kematian akibat gempa bumi kuat di tenggara Turkiye , berhampiran sempadan Syria, boleh meningkat lapan kali ganda, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Jumlah korban, yang kini berjumlah lebih 3,400 orang, meningkat dengan cepat sejak gempa bumi pertama melanda awal pagi Isnin.

Gegeran kuat kali kedua melanda di utara selepas 12 jam kemudian.

Sehingga kini operasi mencari dan menyelamat di bawah runtuhan ketika cuaca sejuk dan bersalji sedang giat dijalankan.

Negara-negara di seluruh dunia menghantar sokongan untuk membantu usaha menyelamat, termasuk pasukan pakar, anjing penghidu dan peralatan.

Kajian Geologi Amerika Syarikat berkata, gegaran berukuran 7.8 magnitud itu berlaku pada 4.17 pagi waktu tempatan (01:17 GMT) pada kedalaman 17.9km (11 batu) berhampiran bandar Gaziantep.

Manakala ahli seismologi berkata, gempa pertama adalah antara yang terbesar pernah direkodkan di Turkiye.

Mangsa yang terselamat berkata, ia mengambil masa dua minit untuk gegaran berhenti.

Gempa kedua yang dicetuskan oleh gempa pertama pula merekodkan 7.5 magnitud dan pusat gempanya adalah di daerah Elbistan di wilayah Kahramanmaras.

Banyak gegaran susulan masih dirasai di seluruh rantau ini.

WHO telah memberi amaran bahawa jumlah itu mungkin meningkat sebanyak lapan kali ganda, apabila penyelamat menemui lebih ramai mangsa di dalam runtuhan.

Keadaan lebih berbahaya apabila dalam keadaan bersalji, ramai mangsa tidak dapat berteduh.

Ramai daripada mangsa berada di utara Syria yang dilanda perang, yang mana berjuta-juta pelarian tinggal di kem di kedua-dua belah sempadan dengan Turkiye.

Terdapat berpuluh-puluh kematian dilaporkan di kawasan yang dikuasai pemberontak.

Beribu-ribu bangunan di kedua-dua negara telah runtuh, dan beberapa video menunjukkan saat ia jatuh, ketika mangsa berlari mencari perlindungan.

Banyak bangunan yang setinggi 12 tingkat kini sudah rata dan jalan-jalan raya musnah.

Kebanyakan kawasan kini menyaksikan runtuhan sejauh mata memandang.

Antara bangunan yang musnah ialah Istana Gaziantep, sebuah mercu tanda bersejarah yang telah berdiri selama lebih 2,000 tahun. – Agensi